KURSUS KEPIMPINAN BERKESAN (POL S44)
BANGI, 20 Februari 2020 - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) melalui Kluster Kecemerlangan Kepemimpinan Islam (KKKI) telah menganjurkan Kursus Kepimpinan Berkesan di bawah Pelan Operasi Latihan kepada pegawai-pegawai Gred S44 yang baharu menerima pemangkuan pada Februari 2020. Kursus ini berlangsung selama tiga (3) hari bermula pada 18 hingga 20 Februari 2020, bertempat di Bilik al-Khawarizmi, Blok B, ILIM Kampus Utama Bangi.
Seramai 30 orang peserta telah mengikuti kursus ini yang terdiri daripada Kumpulan Pengurusan dan Profesional, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan kader-kader JAKIM di Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), dan beberapa agensi kerajaan yang lain. Objektif utama kursus ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kepimpinan pegawai-pegawai muda JAKIM ke arah melahirkan kepimpinan yang strategik dan futuristik.
Pengisian sebanyak tujuh (7) slot telah disampaikan oleh tiga orang penceramah jemputan mengikut bidang kepakaran. Selain ceramah, Dr. Abdul Rahman bin Ibrahim daripada Awaken and Training Consultancy Sdn. Bhd. mengisi slot dengan beberapa permainan pengurusan (management games) dan experiantial learning berasaskan pengetahuan dan kemahiran kepimpinan. Manakala Dr. Abu Bakar bin Sarpon, mantan COO TV al-Hijrah pula berkongsi pengalaman kepimpinan dalam pentadbiran Institusi Awam Islam. Sementara pendakwah terkenal, Ustaz Muhammad bin Abdullah al-Amin membangkitkan motivasi para peserta mengenai topik kepimpinan al-Fatih. Rata-rata peserta memberi maklum balas yang baik dan berharap kursus ini diteruskan pada masa akan datang.