BANGI, 19 Februari 2019 – ILIM Kampus Utama Bangi melalui Kluster Kepakaran Pengurusan Hal Ehwal Islam telah menganjurkan Kursus Pra dan Pasca Bicara : Pendaftar dan Penolong Pendaftar pada 18 hingga 19 Februari 2019 di Bilik Kuliah Bukhari, Blok Akademik B.
Kursus tersebut diadakan bertujuan memberi kefahaman berhubung kaedah-kaedah pendaftaran kes-kes mal, kaedah penyampaian serta penyediaan laporan saman/ dokumen dan waran tangkap yang diperuntukkan dalam Akta/ Enakmen Tatacara Mal Syariah. Pendedahan isu-isu utama dalam perbicaraan serta hak-hak dan kesan keterangan dalam pembuktian dan sabitan kes juga didedahkan kepada peserta sepanjang kursus.
Kursus selama 2 hari itu merupakan anjuran bersama ILIM dengan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Seramai 30 orang pendaftar dan penolong pendaftar mahkamah syariah negeri terlibat dalam menimba pengalaman dari Tuan Abu Sufian bin Yaziz, Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Melaka selaku penceramah kursus ini.