25 Januari 2019, Bangi – Menjadi satu kebanggaan malah berita kehadiran Rektor ke-3 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam keluarga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sesungguhnya membuka seri dalam lembaran baharu pada tahun 2019 ini.
Bagai pucuk dicita, ulam mendatang keberadaan insan yang amat disegani ini bersama JAKIM ibarat kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan. Mesra dengan panggilan Prof. Kamal, beliau memulakan perkhidmatan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi mulai Januari 2019. Perkhidmatan yang ditawarkan oleh beliau merangkumi pengucapan harian, kelas-kelas pembacaan buku dan kitab-kitab tafsir, penerbitan, persuratan, pengumuman, pengiklanan/promosi, penulisan, terjemahan, dakwah kepada non-muslim menerusi siri-siri debat tentang Islam dalam bahasa Inggeris dan seumpamanya.
Prof. Kamal menyatakan hasratnya supaya pegawai-pegawai agama terutama barisan pengurusan tertinggi yang mentadbir serta memimpin sesebuah agensi mahupun jabatan perlu menguasai bahasa antarabangsa ini dengan baik bagi meletakkan institusi agama setaraf dan setanding dengan agensi mahupun jabatan lain.
ILIM sebagai pusat latihan yang bertanggungjawab dalam pembangunan kompetensi pegawai hal ehwal Islam, telah mengambil inisiatif menyusun aktiviti-aktiviti yang melibatkan beliau bersama warga JAKIM dan ILIM. Antara yang terdekat adalah pengisian slot communication skill dalam program Retreat Kepimpinan Pertengahan JAKIM yang akan diadakan pada 29 hingga 31 Januari ini bertempat di Institut Perakaunan Negara Sabak Bernam, Selangor.
Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini telah menerima anugerak Tokoh Akademik Negara ke-11 bersama Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan Prof. Emeritus Tan Sri Datuk Khoo Kay Kim pada tahun 2017. Anugerah tersebut merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada cendekiawan Malaysia yang mengharumkan nama negara dalam pelbagai bidang.
Beliau juga mengalu-alukan kehadiran dan kunjungan daripada pegawai JAKIM ke ILIM sama ada secara individu mahupun berkumpulan. Semoga dengan kehadiran julung-julung kalinya Felo ILIM ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pegawai dan kakitangan JAKIM serta ILIM di setiap peringkat. Jom cabar diri anda semua selangkah lagi kehadapan. Please “Come and drop in”.