8 Januari 2019, Bangi - “Kecil tapak tangan, nyiru ILIM tadahkan”. Begitulah peribahasa yang paling signifikan yang boleh digambarkan tentang penerimaan ILIM terhadap kunjung hormat dari Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Bangi di sini hari ini. Berkongsi dari landskap geografi residensi dan “core business” yang sama, kedua-dua agensi yang berpayung di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) ini mengorak langkah pada permulaan tahun 2019 ini untuk terus memperkukuhkan jalinan sesama institusi.
Rombongan dari ILKAP yang diketuai sendiri oleh Ketua Pengarahnya iaitu YBhg. Dato’ Anita binti Haji Harun dengan diiringi Timbalan Ketua Pengarah, Puan Hajah Zalina binti Awang @ Mamat tiba di ILIM, Bangi pada jam 10.30 pagi. Rombongan ini disambut penuh hormat oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan ILIM, Tuan Haji Hanifuddin bin Roslan, Pendaftar ILIM, Encik Mohammad Fairuz bin Mohd Nasir, ketua-ketua penolong pengarah serta pegawai-pegawai kanan ILIM.
Dalam siri kunjung hormat ini ILKAP dan ILIM berkongsi pengalaman dan pandangan masing-masing dalam urus tadbir dan pembangunan pusat latihan ke arah yang lebih sistematik. Sebagai sebuah pusat latihan, kajian penyelidikan berkenaan latihan perlu diberi penekanan agar fokus latihan dapat diperhalusi mengikut kehendak pelanggan.
Menghargai keberadaan rakan-rakan institusi latihan di kawasan sekitar, ILKAP berhasrat agar institusi-institusi latihan ini dapat melengkapi antara satu sama lain terutama sekali dari aspek kemudahan fasiliti. Hal ini disebabkan sesebuah institusi latihan diukur dengan kejayaan pelaksanaan program melalui Indeks Prestasi Utama (KPI) dan ini tidak akan berhasil sekiranya kemudahan fasiliti tidak dapat disediakan sebaik mungkin.
ILKAP baru-baru ini juga berjaya mendapat standard piawaian ISO pada Disember 2018 dan hal ini memberi semangat kepada ILIM untuk mencapai standard tersendiri memandangkan ianya merupakan satu-satunya institusi latihan Islam di Malaysia. Semoga dengan lawatan ini jalinan ILIM dan ILKAP dapat dimanfaatkan dan terus kukuh pada masa hadapan.