Bangi, 08 Ogos 2018 – Masyarakat Melayu Islam pada hari ini semakin ketandusan golongan yang mahir menulis jawi. Semakin hari tulisan jawi semakin dilupakan khususnya oleh generasi muda dan keadaan ini tidak harus dibiarkan begitu sahaja.
Justeru itu, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) menerusi Kluster Pendidikan dan Pengajian Bahasa telah menganjurkan Kursus Pra Munsyi Jawi Siri 1 pada 6 hingga 8 Ogos 2018 bertempat di ILIM, Bangi. Kursus yang telah berlangsung selama 3 hari dan disertai oleh 15 orang peserta, terdiri daripada pegawai ILIM ini sedikit sebanyak membuahkan impak positif dalam membina generasi yang kembali cintakan tulisan jawi.
Kursus ini memberi pendedahan mengenai aspek penulisan dan pengejaan Jawi, membaca dan menulis Jawi dan memberi kefahaman dan kemahiran mengenai kepentingan pembacaan dan penulisan Jawi.
Kursus ini dikendalikan oleh Pensyarah Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru, Kampus Pendidikan Islam Bangi, En. Saiful Bahri Yaziz dan Pn. Fadzilah Mustapa. Peserta turut dibawa melawat ke Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya bagi melihat penggunaan jenis-jenis khat dalam penulisan al-quran di Malaysia.
Semoga usaha ini berupaya menghidupkan kembali aura tulisan jawi dengan memupuk kesedaran cinta pada tulisan jawi dan memberi kesedaran mengenai kepentingan pengekalan tulisan Jawi.