Dari sudut pengajaran pula, kemahiran dan latihan guru hendaklah ditingkatkan. Perubahan hendaklah berlaku daripada pembelajaran berpusatkan guru kepada pembelajaran berpusatkan pelajar.
Ini antara rumusan penting diperoleh hasil Wacana Ilmiah : Pengukuhan Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Arab Di Kalangan Guru Bahasa Arab anjuran Institut Latihan Islam Malaysia menerusi Kluster Pendidikan dan Pengajian Bahasa dengan kerjasama Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) baru-baru ini dengan disertai lebih 200 orang peserta yang terdiri dari guru-guru Bahasa Arab dan para pelajar institusi pendidikan.
Prof Dr Ibrahim al-Hudhud, Mantan Rektor Universiti Al-Azhar yang dijemput khas bagi berkongsi idea dan pengalaman dalam wacana ini katanya, bagi mengatasi isu-isu tersebut, para guru dengan dibantu oleh tenaga pakar Bahasa Arab yang mempunyai penyelidikan, penerbitan dan inovasi perlu merangka strategi pembelajaran dan hendaklah diperkenalkan kepada pelajar supaya mereka dapat belajar secara kendiri, aktif dan juga melalui bahan-bahan elektronik yang terdapat di sekeliling mereka. Perubahan sikap pelajar hendaklah diberi keutamaan supaya pembelajaran Bahasa Arab dapat bersaing dan seiring dengan perkembangan pembelajaran di kurun ke 21 dengan berlandaskan pembelajaran konstraktivisme.
“Begitu juga persekitaran pembelajaran hendaklah memberi peluang kepada pelajar untuk lebih berinteraksi dengan bahasa. Guru-guru Bahasa Arab juga perlu didedahkan dengan pendekatan pembelajaran kurun ke 21 bagi mencapai objektif pembelajaran” menurutnya lagi.
Pihak berkepentingan hendaklah melihat semula kepada isu-isu tersebut dan melakukan perubahan. Dengan adanya perubahan terhadap isu-isu yang sedia ada, proses pembelajaran Bahasa Arab akan dapat ditingkat dan menyeronokkan. Seterusnya ia dapat menyuntik semangat dan motivasi pelajar untuk terus belajar dan menguasai bahasa tersebut dengan lebih baik.