Bangi, 8 Mac 2018 – Bahasa Arab adalah Bahasa Mukjizat dan bahasa pertuturan Nabi Muhammad SAW. Pengetahuan Bahasa Arab adalah sangat penting untuk mengetahui isi kandungan Al-Quran dan doa-doa yang sering kita baca setiap hari, bahkan ia merupakan fardhu kifayah ke atas semua umat Islam. Bahasa Arab juga merupakan bahasa kedua terbesar penggunaannya di dunia.
Kluster Pendidikan dan Pengajian Bahasa (KPPB), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan Sijil Tinggi Bahasa Arab (Al-Daurah Al-'Aliyah Fi Al-Lughah Al-'Arabiyyah) Marhalah 1 pada 5 hingga 8 Mac 2018 bertempat di Bilik Al-Baithar,Aras 1, Blok Akademik B, ILIM Bangi.
Antara objektif kursus ini diadakan adalah untuk memberi pemantapan dalam Qawaid Nahu dan Sarf, melatih peserta dalam aspek penulisan dantaabir serta memahami struktur-struktur wacana dalam Bahasa Arab. Seramai 20 orang peserta telah menyertai kursus tersebut terdiri dari penjawat awam dari pelbagai agensi Kerajaan.
Antara barisan penceramah yang terlibat dalam menjayakan kursus ini ialah Presiden Persatuan Bahasa Arab Malaysia dan pengacara Bahasa Arab Majlis Tilawah Hafazan Al-Quran Antarabangsa (MTHQA), Dato' Mahamud bin Abdul, Pensyarah-pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG), Kampus Pendidikan Islam Bangi, Dr Mat Nawi bin Jusoh, Ustaz Muhammad Shubki bin Hussin, Ustaz Masrur bin Ibrahim dan Ustaz Mohamad Fauzi bin Yahaya.
Pengetahuan tentang Bahasa Arab amat penting berikutan penggunaannya yang bersifat global dan sebagai sumber ilmu pengetahuan Islam bagi perkembangan tamadun manusia.