Menyedari kepentingan penggunaan Bahasa Isyarat dalam agenda dakwah, Kluster Pendidikan dan Pengajian Bahasa (KPPB), Institut Latihan Islam Malaysia telah mengadakan Kursus Bahasa Isyarat pada 20-21 Februari 2018 bertempat di Bilik Kuliah Sibaweh, Aras 1, Blok Akademik B, ILIM Bangi.
Objektif penganjuran kursus ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik berkomunikasi menggunakan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM), mengenal pasti teknik penguasaan bahasa isyarat bagi maksud tertentu dengan tepat dan berkesan serta membina keyakinan kepada peserta untuk berkomunikasi secara langsung dengan golongan orang pekak yang mempraktikkan bahasa isyarat.
Seramai 28 orang peserta telah menyertai kursus ini yang mana terdiri daripada pelbagai Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan seperti Jakim, Jain, Main.
Kelas ini dikendalikan oleh Encik Mohamad Zaid Hamdan dari Institut Latihan Islam Malaysia dan Puan Sariah Ibrahim, Presiden Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan dengan dibantu beberapa orang fasilitator terlatih.
Diharapkan program seumpama ini dapat memberi pendedahan kepada peserta kaedah-kaedah bahasa isyarat khususnya istilah-istilah syarak sebagai medium interaksi sosial dengan golongan istimewa ini seterusnya melahirkan pelapis yang dapat membantu menyebarkan dakwah dan memberi kefahaman Islam kepada OKU Pendengaran agar dakwah Islamiah dapat disebarluaskan tanpa meminggirkan mana-mana golongan dalam kelompok masyarakat.