WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, 07 Februari 2018 -  Bertitik tolak dari salah satu elemen Maqasid Syariah yang digariskan iaitu Hifz Mal (penjagaan harta), Islam sememangnya meletakkan kepentingan untuk menjaga dan menguruskan kewangan dengan baik. Islam menggalakkan umatnya untuk menghasil, mengembang dan menggunakan harta dengan bijaksana dan tersusun. Kluster Ekonomi dan Pengurusan Halal, ILIM telah mengadakan Kursus Pengurusan Kewangan Peribadi dan Keluarga Berlandaskan Syariah pada 06-07 Februari 2018 bertempat di Bilik Ibnu Sina, Aras 1, Blok Akademi B, ILIM Bangi.

Objektif penganjuran kursus ini untuk memberi pendedahan berkaitan pengurusan kewangan peribadi dan keluarga berlandaskan syariah, memberi penjelasan mengenai isu- isu semasa dalam pengurusan kewangan dan meningkatkan kemahiran dalam mengaplikasikan pengurusan kewangan dalam kehidupan seharian.

Antara barisan penceramah yang terlibat dalam menjayakan kursus ini iaitu Puan Warda binti Misnon, Ketua Kluster Ekonomi Islam dan Pengurusan Halal (KEHA), Encik Azwani Zam bin Abdul Rani, Pengurus, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Puan Syaharina binti Abdullah, Pegawai Lembaga Zakat Selangor (LZS) ), Encik Abd Rahman bin A. Shukor, Konsultan Syariah, Dr. Mohd Zamro bin Muda, Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Bagi mencapai pengurusan kewangan yang sistematik, perancangan tersusun amat diperlukan. Kursus ini telah mencadangkan lima Resolusi Pengurusan Kewangan sebagai panduan bersama di dalam menguruskan kewangan secara sistematik, di antaranya:

Pertama: Menetapkan matlamat di dalam kewangan.

Penetapan matlamat kewangan akan mewujudkan aliran kewangan yang teratur dan tersusun tanpa sebarang gangguan terhadap sumber kewangan sedia ada. Hal ini akan mengelakkan daripada berlakunya pembaziran seterusnya mengawal selia perbelanjaan agar tidak berlebihan dan berbelanja untuk perkara yang tidak perlu.

Kedua: Meningkatkan pengetahuan pengurusan kewangan

Melalui agensi pengurusan kewangan kerajaan dan swasta, terdapat pelbagai bentuk informasi dapat diperolehi. Malah, agensi tersebut juga menyediakan seminar dan kursus pengurusan kewangan dan hutang dalam usaha memberikan pendidikan kepada seluruh masyarakat. Di antara agensi yang terlibat seperti Unit Khidmat Nasihat Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Jabatan Insolvensi Malaysia. Adalah satu kebaikan jika institusi perbankan dan kewangan swasta turut sama memainkan peranan dalam menyediakan program dan aktiviti untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat terhadap pengurusan kewangan. Teruskan usaha untuk meningkatkan pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan yang akhirnya pengetahuan itu akan membantu menguruskan kewangan dengan baik.

Ketiga: Pengurusan hutang dengan bijaksana

Setiap individu tidak akan terlepas daripada hutang-piutang seperti pembiayaan perumahan, kenderaan dan sebagainya. Oleh itu, berazamlah untuk melunaskan segala hutang- piutang kerana ianya bukan sahaja menjadi beban di dunia malah di akhirat.

Keempat: Menguruskan pelan pelaburan

Adalah tidak patut bagi mereka yang berharta untuk terus menyimpan sahaja tanpa ada usaha untuk mengembangkan harta tersebut. Harta perlu dikembangkan melalui beberapa kaedah yang disediakan seperti pelaburan dan sebagainya.

Kelima: Melibatkan ahli keluarga dalam pengurusan kewangan

Keterlibatan ahli keluarga terdekat adalah perlu untuk memastikan perancangan dan penyusunan kewangan menjadi teratur serta mencapai matlamat yang ditetapkan. Didiklah anak-anak untuk menyimpan daripada lebihan wang saku dan berbelanja untuk perkara yang perlu sahaja. Pada masa yang sama, bawa kepada pengetahuan keluarga tentang komposisi hutang piutang yang ada, sempurnakan wasiat agar dengannya semua proses pembahagian harta selepas peninggalan kita dapat dijalankan dengan sempurna.

Harta adalah fitnah kepada umat Muhammad SAW, marilah kita seluruh masyarakat agar sentiasa bersedia dan berwaspada dalam menguruskan kewangan. Kesenangan bukan hanya untuk dunia, malah kesenangan itu yang akan membawa cahaya di akhirat. Berusahalah mengikut acuan Islam demi mencapai redha Allah SWT.

 pengurusan kewangan1

 pengurusan kewangan2

 pengurusan kewangan3

 pengurusan kewangan4