Bangi, 24 Januari 2018 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) menerusi Kluster Sains Dakwah dan Pengurusan Masjid (KSDAM) telah menganjurkan Kursus Pengurusan Ibadah Pesakit bertempat di ILIM, Bangi. Objektif program ini adalah meningkatkan pengetahuan peserta mengenai permasalahan dan isu berkaitan pengurusan ibadah pesakit, mengukuhkan kefahaman dan kemahiran pengurusan ibadah pesakit; dan membina keyakinan peserta mengenai pengurusan ibadah pesakit.
Seramai 41 orang peserta terlibat dalam menjayakan kursus ini terdiri daripada pegawai perkhidmatan awam daripada pelbagai skim perkhidmatan seperti kakitangan hospital, Jabatan Penjara, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Agama Islam Negeri.
Petikan ceramah oleh Ustaz Mohd Nazar Ibrahim dari Hospital Kuala Lumpur, menurutnya, “pelbagai bentuk ujian diberi oleh Allah kepada hambanya (orang sakit) untuk terus melakukan ibadah, tiada apa yang Allah kehendaki melainkan untuk memberi kesedaran. Tanda kesedaran yang Allah bagi tidak semestinya seseorang itu sendiri sakit tetapi berkemungkinan suami, ibu bapa, adik-beradik atau masyarakat di sekelilingnya. Allah memberi kebaikan kepada seseorang itu dalam bentuk musibah bukan dalam bentuk nikmat, maka kita sebagai hambaNya haruslah terima akan qadar Allah supaya orang yang diuji ini bersangka baik kepada Allah dengan bersyukur setiap yang diuji olehNya”.
Kursus ini turut mempraktikkan cara-cara pengurusan ibadah semasa sakit dan pengendalian ibadah untuk pesakit. Menurut Ustaz Mohd Sharaf Bajuri, selaku penceramah kursus dan pendakwah bebas, “apabila bersama orang sakit kita sebagai orang di sekelilingnya haruslah mengubah minda kita supaya boleh bantu mereka berkaitan ibadah.
Semoga ilmu tuntuan fardhu kifayah ini memberi manfaat kepada peserta serta dapat dipraktikan di tempat kerja dan qariah masing-masing.