Bangi, 05 Julai 17 – Kluster Ekonomi Islam dan Pengurusan Halal, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan Kursus Pengenalan Sistem Kewangan dan Perbankan Islam pada 04 dan 05 Julai 2017 bertempat di Bilik Kuliah al-Biruni, Aras 1, Blok Akademik B, ILIM.
Kursus ini telah dihadiri seramai 25 orang peserta dari pelbagai agensi Kerajaan. Objektif kursus ini adalah untuk memberi pendedahan berkaitan konsep, prinsip dan falsafah sistem kewangan dan perbankan Islam yang berteraskan syariah. Selain itu kursus ini juga bertujuan untuk meningkat kefahaman secara teori dan praktikal mengenai produk perbankan dan kewangan Islam di samping memberi penjelasan mengenai isu-isu semasa kewangan dan perbankan di Malaysia.
Pelbagai topik menarik telah disampaikan oleh barisan penceramah yang mahir dalam bidang ini seperti Dr. Wan Nur Aisyah binti Wan Yusoff, Penolong Pengarah, Seksyen Muamalat, JAKIM dengan tajuk “Tuntutan Syariah dalam Sistem Kewangan, Encik Ismail bin Talib, Pegawai Eksekutif, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menjelaskan bekaitan “Pengenalan Sistem Perbankan Islam ; Peranan dan Perbandingan dan “Produk dan Instrumen Kewangan Islam”.
Modul kursus ini turut menjelaskan berkaitan “Operasi Perbankan” yang disampaikan oleh Encik Mohd Fadhli bin Mohd Faudzi, Pegawai Eksekutif, My Tijaroh Resources. Manakala “Isu-isu Perbankan Islam di Malaysia” telah dikupas oleh Encik Abdullah bin Jalil, Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Semoga kursus ini dapat menjadi salah satu wadah kepada para peserta untuk memahami sistem perbankan dan kewangan Islam di Malaysia.