Kursus Sijil Tinggi Pengurusan Fatwa Tahap 1 telah dilaksanakan pada 28 hingga 30 Mac 2017 bertempat di Bilik al-Khawarizmi, Aras 1, Blok B, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) bertujuan melahirkan pegawai yang memiliki kemahiran mengistinbat hukum serta menghurai isu dan masalah semasa berdasarkan sumber rujukan utama serta berkemahiran dalam pengurusan fatwa.
Terdapat sembilan (9) slot yang mengandungi ceramah, lawatan dan penilaian di dalam sijil tinggi ini. Kursus sijil tinggi ini dimulakan dengan Ice-Breaking oleh Penyelaras kursus, Ustaz Mahdi Al-Hilmy bin Arshad. Slot seterusnya iaitu Pengenalan Fatwa dan Sejarah Perkembangan Fatwa di Dalam Islam oleh Ustaz Abdul Halem Hapiz bin Salihin dari Jabatan Mufti Selangor.
Pada hari kedua peserta sijil tinggi dibawa melawat ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Bahagian Pengurusan Fatwa di Kompleks Islam Putrajaya bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta mengenai pengurusan fatwa. Slot seterusnya iaitu Pengurusan dan Penyelarasan Fatwa oleh Ustaz Aminuddin bin Mohamad dari Bahagian Pengurusan Fatwa, Jakim.
Manakala pada hari ketiga, sijil tinggi diteruskan dengan slot ceramah bertajuk Mufti, Jawatankuasa Fatwa dan Undang-Undang Fatwa di Malaysia juga disampaikan oleh Ustaz Aminuddin. Seterusnya slot ceramah Pengurusan Fatwa Antarabangsa dan Serantau disampaikan oleh Profesor Madya Dr Azman bin Abdul Rahman dari USIM.
Kursus ini diakhiri dengan penilaian terhadap peserta-peserta yang membuat pembentangan kumpulan berdasarkan soalan-soalan yang diberikan oleh penyelaras kursus.
Alhamdulillah, kursus ini mendapat sokongan dan sambutan yang sangat menggalakkan dengan kehadiran peserta seramai 55 orang yang terdiri daripada Pegawai Hal Ehwal Islam dari Jabatan Mufti, Jabatan Agama Islam Negeri-negeri, Majlis Agama Islam Negeri dan Jakim sendiri.