WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

BANGI, 15 OKTOBER 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan Kursus Fiqh al-Imam al-Syafi‘i dalam Kitab Sabil al-Muhtadin pada 13 hingga 15 Oktober 2026 bertempat di ILIM Kampus Utama, Bangi. Kursus ini disertai seramai 27 orang peserta daripada pelbagai agensi, antaranya Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Unit Tindakan Khas (UTK), Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN), Jabatan Agama Islam Negeri serta pegawai hal ehwal Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Penganjuran kursus ini bertujuan memperkukuh pengetahuan dan kefahaman peserta terhadap manhaj fiqh Imam al-Syafi‘i menerusi penelitian kitab Sabil al-Muhtadin, di samping menghayati sumbangan karya turath dalam perkembangan ilmu fiqh dan tradisi keilmuan Islam di Nusantara.

Sepanjang tiga hari kursus, peserta didedahkan kepada pelbagai pengisian, antaranya pengenalan kitab Sabil al-Muhtadin, sorotan perkembangan fiqh Syafi‘i di Nusantara, penyelesaian isu semasa menerusi perbahasan kitab, aplikasi pembacaan kitab serta aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan praktikal.

Melalui pelaksanaan kursus ini, peserta berpeluang memperluas kefahaman terhadap khazanah keilmuan Islam serta meningkatkan keupayaan menghubungkaitkan perbahasan fiqh dalam kitab turath dengan keperluan dan cabaran semasa, khususnya dalam pelaksanaan tugas berkaitan hal ehwal Islam.

ILIM komited untuk terus memperkasa kompetensi pegawai hal ehwal Islam melalui program latihan yang berteraskan ilmu, penghayatan tradisi keilmuan Islam dan aplikasi pengetahuan dalam perkhidmatan, selaras dengan usaha melahirkan penjawat awam yang berilmu, kompeten dan berintegriti.