WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

LAHAD DATU, 2 Oktober 2026 – Seramai 35 orang Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang berkhidmat di Daerah Lahad Datu dan Daerah Tungku menyertai Edu Sphere: Kursus Aplikasi Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) yang berlangsung selama tiga hari di Dewan Serbaguna KAFA SAR Kampung Remang, Lahad Datu. Kursus ini dianjurkan bagi memperkukuh kompetensi dan profesionalisme guru agar sentiasa relevan dengan perkembangan pedagogi serta teknologi pendidikan semasa.

Kursus ini memberi penekanan kepada penguasaan konsep Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21), pengintegrasian teknologi pendidikan, pemanfaatan kecerdasan buatan (AI), pembelajaran aktif serta pembinaan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang sistematik dan berimpak tinggi. Pendekatan tersebut membantu guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang lebih kreatif, interaktif dan berpusatkan murid.

Sepanjang program, peserta mengikuti lapan slot pengisian yang dikendalikan oleh tiga penceramah berpengalaman iaitu Ustazah Nirwana Harun, Ustazah Amnah Binti Purungan @ Purongan dan Ustaz Mohd Nazirul Mubin Mohd Alias. Pengisian merangkumi pendigitalan PdP, penggunaan AI dalam pendidikan, pembinaan RPH berkesan, reka bentuk pengajaran berasaskan PAK21 serta strategi pembelajaran aktif yang mampu meningkatkan penglibatan murid dalam bilik darjah.

Selain meningkatkan kemahiran pedagogi, peserta turut didedahkan kepada elemen 4C iaitu Communication, Collaboration, Critical Thinking dan Creativity sebagai teras pembelajaran abad ke-21. Elemen ini membantu guru membina persekitaran pembelajaran yang lebih dinamik, mendorong murid berfikir secara kritis, berkomunikasi dengan berkesan, bekerjasama dan menjana idea secara kreatif.

Penganjuran kursus ini memberi impak yang signifikan kepada peserta melalui peningkatan pengetahuan, kemahiran dan keyakinan dalam mengaplikasikan pendekatan PdP yang lebih inovatif. Pendedahan kepada teknologi pendidikan dan AI membuka ruang kepada guru untuk melaksanakan tugas dengan lebih cekap, manakala penekanan terhadap perancangan pengajaran yang strategik membantu meningkatkan keberkesanan penyampaian ilmu di bilik darjah.

Secara keseluruhannya, kursus ini menjadi platform pembangunan profesional yang berupaya memperkasa Guru KAFA sebagai pendidik yang progresif, adaptif dan berdaya saing. Inisiatif ini diharapkan dapat melahirkan guru yang mampu mengimbangi perkembangan teknologi dengan pembinaan ilmu, nilai dan akhlak, seterusnya menyumbang kepada pembentukan generasi masa hadapan yang cemerlang dan berintegriti.