WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

LAHAD DATU, 30 September 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lahad Datu terus memperkasa penghayatan bahasa Arab sebagai bahasa Al-Quran menerusi penganjuran Kursus Interaktif Bahasa Arab: Menyelami Bahasa Wahyu pada 29 hingga 30 September 2026. Program yang dianjurkan secara dalam talian ini berjaya menghimpunkan kira-kira 500 peserta daripada pelbagai latar belakang, antaranya warga perkhidmatan hal ehwal Islam (PHEI), guru KAFA, guru takmir, guru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), penjawat awam serta masyarakat awam. Penganjuran kursus ini bertujuan memperkukuh kefahaman terhadap bahasa Arab sebagai medium utama penyampaian wahyu, sekali gus meningkatkan penghayatan terhadap mesej Al-Quran dan Al-Sunnah.

Bagi memastikan pengisian yang berkualiti dan berimpak tinggi, kursus ini menampilkan empat penceramah berpengalaman daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), iaitu Dr. Khairul Asyraf bin Mohd Nathir, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa Utama; Dr. Mohd Zahir bin Abdul Rahman, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah; Dr. Mohd ‘Azmi bin Mohd Razif, Pensyarah Institut Sains Islam (ISI); serta Dr. Syed Mohamad Zainudin Bichk Koyak, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah. Kehadiran barisan akademik ini telah memperkayakan kandungan kursus melalui perkongsian ilmu yang menghubungkan dimensi bahasa, kefahaman wahyu serta pembentukan insan.

Sepanjang dua hari penganjuran, peserta mengikuti enam sesi perkongsian interaktif yang memberi penekanan kepada kedudukan bahasa Arab sebagai bahasa wahyu, penghayatan keindahan dan hikmah bahasa Al-Quran, pengenalpastian kata kunci penting dalam Al-Quran serta penerapan nilai-nilai Islam dalam pembentukan sahsiah, integriti dan profesionalisme Muslim.

Kursus ini turut mengetengahkan pendekatan tadabbur yang praktikal bagi membantu peserta memahami dan menghayati mesej wahyu secara lebih dekat dengan realiti kehidupan. Pendekatan tersebut diharapkan dapat diterjemahkan melalui amalan peribadi serta pelaksanaan tugas yang berteraskan integriti dan nilai Islam.

Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen berterusan ILIM Kampus Lahad Datu dalam memperkukuh budaya ilmu dan pembelajaran berteraskan wahyu. Inisiatif seumpama ini diharap dapat menyemarakkan minat terhadap bahasa Arab, memperkukuh budaya tadabbur serta melahirkan individu yang berilmu, berintegriti dan berakhlak mulia dalam kehidupan serta perkhidmatan.