Bangi, 2 Oktober 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) melalui Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam (PKKI) telah berjaya menganjurkan Kursus Al-Qawiy Al-Amin Siri 1/2026 bermula 28 September 2026 hingga 2 Oktober 2026 di ILIM Kampus Utama, Bangi. Kursus ini melibatkan seramai 58 orang pegawai lantikan baharu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi Gred S9, S5 dan S1.
Berdasarkan Pelan Pembangunan Kompetensi JAKIM, kursus ini merupakan salah satu kursus wajib bagi setiap kemasukan gred lantikan baharu dalam perkhidmatan Hal Ehwal Islam, sama ada dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional mahupun Kumpulan Pelaksana. Kursus ini juga merupakan sebahagian daripada syarat untuk diperakukan oleh Ketua Perkhidmatan bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan.
Kursus ini diadakan bertujuan untuk membentuk warga Perkhidmatan Hal Ehwal Islam yang berintegriti dan berpersonaliti baik, di samping memperkukuh ciri-ciri kepimpinan dan kepengikutan. Di sepanjang kursus, para peserta didedahkan dengan modul komprehensif yang menekankan empat (4) komponen utama iaitu pembangunan sahsiah diri, pembangunan kumpulan dan jati diri, komunikasi dan pembangunan jasmani, mental serta emosi.
Pelaksanaan kursus ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JAKIM dalam memastikan pegawai lantikan baharu memiliki keupayaan (al-Qawiyy) dan amanah (al-Amin) dalam melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan awam termasuk juga sektor agama.
Majlis Perasmian Penutupan Kursus Al-Qawiy Al-Amin Siri 1/2026 telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM. Dalam ucapannya semasa sesi perkongsian bersama peserta, beliau antaranya menekankan kepentingan setiap Pegawai Hal Ehwal Islam mempunyai jati diri atau ketahanan, meletakkan matlamat dan sasaran serta sentiasa melakukan perubahan dan penambahbaikan dalam melaksanakan tugasan.
Selama lima (5) hari kursus, pelbagai pengisian dan aktviti telah disusun dan dikendalikan oleh fasilitator terlatih yang terdiri daripada pegawai ILIM dan JAKIM dalam memastikan objektif kursus yang ditetapkan dapat dicapai.
Para peserta secara keseluruhannya telah memberi komitmen dan kerjasama yang baik di sepanjang program berlangsung. Semoga setiap falsafah di sebalik aktiviti-aktiviti dalam kursus tersebut mampu diaplikasi dalam tugasan mereka di penempatan masing-masing.




