BAKAPIT, 3 Mac 2026 – Program ILIM Outreach@Bakapit: Jejak Ilmu Falak dan Fenomena Alam anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lahad Datu bersama Program Teras telah berlangsung dengan jayanya di Kampung Bakapit, sebagai manifestasi komitmen berterusan institusi tersebut dalam memperluas penyebaran ilmu falak serta memperkukuh pemahaman masyarakat terhadap fenomena alam dari perspektif syariah dan sains. Program ini telah dirasmikan oleh Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM, yang dalam ucapannya menzahirkan harapan agar pendekatan turun padang seumpama ini terus menjadi jambatan penghubung antara institusi latihan Islam dan masyarakat akar umbi.
Penganjuran program ini bertepatan dengan berlakunya fenomena Gerhana Bulan Penuh yang menjadi tarikan utama kepada masyarakat setempat. Sesi cerapan telah dirancang bagi memberi peluang kepada peserta menyaksikan sendiri kejadian tersebut serta memahami kaedah pencerapan menurut disiplin ilmu falak. Para peserta diberikan penjelasan terperinci mengenai proses berlakunya gerhana bulan, kepentingannya dalam penentuan takwim Islam serta ibrah yang boleh dihayati daripada kejadian alam tersebut.
Antara pengisian utama program ialah sesi Sembang Santai: Membaca Langit, Memaknai Alam yang menampilkan gabungan pegawai daripada ILIM Kampus Lahad Datu dan ILIM Kampus Utama Bangi. Perbincangan yang berlangsung secara interaktif itu menyentuh kepentingan cerapan langit sebagai wahana pengukuhan akidah, di samping mengajak masyarakat menilai fenomena alam sebagai tanda kebesaran Ilahi yang menuntut pemerhatian, penelitian dan penghayatan.
Program turut diserikan dengan pengisian Klinik al-Fatihah yang dikendalikan oleh pegawai ILIM Kampus Kundasang. Inisiatif ini bertujuan memperkemas bacaan serta memperdalam penghayatan surah al-Fatihah dalam kalangan peserta sebagai asas pembinaan sahsiah dan kualiti ibadah.
Secara keseluruhannya, penganjuran ILIM Outreach@Bakapit bukan sahaja memperlihatkan pendekatan turun padang yang proaktif, malah mengukuhkan peranan ILIM sebagai institusi latihan Islam yang berfungsi sebagai pemangkin pembangunan ilmu, pemantapan kefahaman agama dan pengukuhan kesejahteraan komuniti secara holistik.
Oleh : Farhan Hassan




