Bangi - 4hb Mac 2026. Seramai 215 orang menyertai Program Bicara Neraca Syariah : "Ramadhan Hukum Dipatuhi Atau Diabaikan" yang berlangsung secara atas talian
melalui Google Meet.
Program yang dianjurkan oleh Institut Latihan Islam Malaysia Kampus Utama Bangi disampaikan oleh Yang Berbahagia Tuan Dr. Suhaizad bin Saifuddin, Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang, Pusat Kajian Undang-undang Malaysia Dan Perbandingan Universiti Kebangsaan Malaysia yang telah mengupas kepentingan menghormati Ramadhan serta kepatuhan terhadap perundangan Islam dalam bulan yang penuh keberkatan ini.
Matlamat program ini dianjurkan bertujuan :
- Memberi kesedaran terhadap hak dan tanggungjawab umat Islam di bulan Ramadhan.
- Meningkatkan pengetahuan dan kefahaman mengenai Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah berkaitan bulan Ramadhan di Malaysia.
- Memahami peruntukan undang-undang yang berkaitan klausa tidak menghormati bulan Ramadhan.
- Memberi pemahaman yang jelas kepada masyarakat Islam mengenai tindakan yang perlu diambil terhadap ahli masyarakat yang melanggar etika dan adab dalam bulan Ramadhan berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa.
Program ini telah berjaya memberi kesedaran kepada para peserta tentang kepentingan menjaga kesucian bulan Ramadhan serta memahami peranan undang-undang dalam mengawal kesalahan jenayah syariah yang berkaitan. Para peserta juga mendapat pendedahan mengenai hak dan tanggungjawab mereka sebagai umat Islam dalam mematuhi peraturan agama dan undang-undang syariah.
Secara keseluruhannya, kursus ini telah mencapai objektifnya dengan jayanya dan mendapat maklumbalas positif daripada peserta. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi meningkatkan lagi kefahaman masyarakat tentang undang-undang syariah serta kepentingan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

