Pada 24 Februari 2026 telah berlangsung Diskusi Ramadan bertajuk “Harta dalam Tangan, Bukan dalam Hati” yang diadakan secara atas talian dengan penyertaan yang amat menggalakkan daripada pelbagai lapisan peserta. Program ini bertujuan memberi pendedahan berkaitan pengurusan kewangan menurut perspektif Islam agar harta yang dimiliki dapat diurus dengan bijaksana tanpa menjejaskan nilai keimanan dan ketakwaan.
Antara objektif utama diskusi ini adalah :
●Menjelaskan konsep pengurusan kewangan berdasarkan syariat Islam.
●Meningkatkan pengetahuan dan kefahaman berkaitan konsep sedekah dan infak.
Melalui diskusi ini, para peserta dijelaskan tentang konsep pengurusan kewangan berdasarkan syariat Islam yang menekankan prinsip amanah, keberkatan serta keseimbangan antara keperluan dunia dan akhirat. Selain itu, program ini turut meningkatkan pengetahuan dan kefahaman peserta berkaitan konsep sedekah dan infak sebagai instrumen penyucian harta serta medium memperkukuh kesejahteraan ummah.
Perkongsian yang disampaikan telah membuka ruang kepada peserta untuk menilai semula kedudukan harta dalam kehidupan, iaitu sebagai alat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan bukan matlamat utama. Diharapkan program seperti ini dapat melahirkan masyarakat yang celik kewangan, berhemah dalam perbelanjaan serta istiqamah dalam amalan bersedekah dan berinfak khususnya sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.


