Bangi, 14 November 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi telah menerima lawatan Audit Stage 1 ISO 9001:2015 Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) oleh SIRIM QAS International Sdn Bhd yang berlangsung pada 13 hingga 14 November 2025. Pelaksanaan audit ini merupakan langkah penting dalam usaha ILIM memperkukuh budaya kualiti dan memastikan keselarasan proses organisasi dengan keperluan standard ISO 9001.
Audit Stage 1 memberi tumpuan kepada semakan keberkesanan dokumentasi SPK, kesediaan organisasi serta penilaian terhadap pemahaman awal ILIM berkaitan keperluan standard. Sepanjang dua hari audit, auditor SIRIM QAS International meneliti dokumen utama seperti konteks organisasi, analisis risiko dan peluang, prosedur operasi standard (SOP) serta rekod sokongan yang menjadi asas kepada pelaksanaan sistem kualiti.
Hasil audit mendapati ILIM berada pada tahap pematuhan yang memuaskan dengan struktur dokumentasi yang tersusun serta proses kerja yang menunjukkan keberkesanan awal. Pihak turut menyampaikan beberapa maklum balas dan cadangan penambahbaikan yang bersifat strategik khususnya dalam aspek pengurusan risiko organisasi, pengukuhan bukti pelaksanaan dan penyeragaman rekod.
Audit diakhiri dengan sesi penutupan oleh auditor SIRIM QAS International yang mengesahkan bahawa ILIM berada dalam keadaan bersedia untuk meneruskan ke Audit Stage 2. Pelaksanaan penambahbaikan susulan dijangka akan memperkukuh lagi keupayaan ILIM dalam mencapai pensijilan ISO 9001:2015 seiring dengan komitmen institut terhadap kecemerlangan perkhidmatan latihan dan pengurusan berkualiti.



