WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
BANGI, 14 November 2025 – Program Eksekutif Pengurusan Hal Ehwal Islam Siri 4/2025 melabuhkan tirainya pagi ini dalam satu majlis rasmi yang berlangsung penuh tertib dan berprestij di Dewan Datuk Mohd Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi.
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Brigedier Jeneral Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, yang turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada para peserta atas komitmen dan kesungguhan mereka sepanjang program berlangsung.
Dalam ucapannya, YBhg. Brigedier Jeneral Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan para peserta untuk terus cemerlang sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam yang berwibawa dan berintegriti. Beliau berkata:
“Saya percaya kesungguhan dan komitmen dalam menempuh pelbagai aktiviti yang dirancang sepanjang program ini berlangsung adalah begitu penting kerana seorang Pegawai Hal Ehwal Islam (PHEI) yang hebat perlu mempunyai daya kepemimpinan yang tinggi, berwibawa, berintegriti, kreatif, inovatif dan bersikap positif di samping mempunyai semangat kerjasama yang tinggi.”
Beliau turut menegaskan bahawa warga perkhidmatan Hal Ehwal Islam wajar menjadikan nilai-nilai JAKIM sebagai asas pembentukan sahsiah dan kepimpinan, iaitu:
J – Jiwa Besar
A – Amanah
K – Komited; Tekun, Pantas dan Dinamik
I – Inovatif
M – Masyarakat Madani
Program Siri 4/2025 ini telah menghimpunkan seramai 95 orang peserta dari pelbagai agensi dan latar belakang, menjadikan sesi kali ini antara penyertaan terbesar bagi siri latihan eksekutif ILIM. Peserta telah melalui pelbagai pembelajaran dan pengalaman dengan garapan adunan pelbagai ilmu pengetahuan, kemahiran, sikap, jasmani dan spiritual dalam modul yang dibangunkan secara khusus oleh ILIM.
Peserta juga telah berjaya menamatkan latihan intensif yang berlangsung selama lima (5) minggu, bermula 13 Oktober 2025 sehingga 14 November 2025. Sepanjang tempoh tersebut, mereka mengikuti modul-modul komprehensif merangkumi pengurusan strategik, tadbir urus Islam, kepimpinan, kemahiran komunikasi berkesan serta pengayaan pengetahuan semasa.
Majlis turut dimeriahkan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta sebagai simbolik kejayaan melengkapkan keseluruhan siri latihan.
Dengan berakhirnya majlis ini, para peserta diharapkan dapat mengaplikasikan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang lima minggu program, sekali gus menyumbang kepada kecemerlangan organisasi masing-masing serta memperkukuh agenda pengurusan hal ehwal Islam negara.