WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
BESUT, 6 November 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dengan jayanya telah menganjurkan Retreat Sektor Operasi JAKIM 2025 bertempat di ILIM Kampus Besut pada 4 hingga 6 November 2025 dengan tema “Merangka Jalan, Menerajui Masa Depan”. Program tiga hari ini menghimpunkan barisan kepimpinan daripada kesemua bahagian di bawah Sektor Operasi JAKIM bagi menilai semula pencapaian tahun 2025 serta merangka strategi dan halatuju baharu Sektor Operasi JAKIM bagi tempoh 2026–2030. Retreat ini diketuai oleh YBhg. Brigedier Jeneral Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM bersama Pengarah Kanan ILIM, Puan Nor Safina binti Zainal dalam memimpin sesi perbincangan untuk mengenal pasti ancaman, peluang, kelemahan dan kekuatan setiap bahagian di bawah Sektor Operasi.
 
Fokus utama perbincangan tertumpu kepada dua bidang strategik iaitu Pemberdayaan Ummah dan Modal Insan Berkualiti, yang diterjemahkan melalui tujuh bidang tumpuan iaitu Pengukuhan Dakwah yang Strategik (Bahagian Dakwah, JAKIM Sabah, JAKIM Sarawak), Pembangunan Sosial Islam yang Inklusif (Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti), Pengukuhan Syiar Islam Melalui Institusi Masjid (Masjid Negara, Masjid Putra, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin), Pemantapan Penerbitan dan Penyiaran Islam (Bahagian Penerbitan & Bahagian Penyiaran), Pemerkasaan Bakat dan Profesionalisme Pegawai (ILIM), Transformasi Pendidikan Islam Holistik dan Berdaya Saing (Darul Quran, IKMAS & IPDAS) serta Reformasi Kualiti Pengajaran dan Profesionalisme Pendidikan Islam (Bahagian Pendidikan).
 
Dalam ucapan penutupnya, YBhg. Datuk turut menzahirkan rasa bangga dan penghargaan kepada semua pimpinan yang menunjukkan komitmen tinggi sepanjang program berlangsung. Beliau turut menegaskan kepentingan warga JAKIM khususnya di Sektor Operasi untuk terus memperkukuh semangat K.I.T.A. (Kebersamaan, Ilmu, Tanggungjawab dan Amanah) sebagai tunjang budaya kerja yang unggul.
 
Semoga Retreat Sektor Operasi JAKIM 2025 ini menjadi pemangkin kepada pengukuhan strategi, keberkesanan operasi serta kecemerlangan berterusan Sektor Operasi JAKIM dalam menghadapi cabaran masa depan yang kian dinamik pada tahun akan datang.