WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Bangi - 5 November 2025. Kursus Risikan Syariah (Lanjutan) yang dilaksanakan bermula pada 3 hingga 5 November 2025 telah melabuhkan tirainya. Kursus ini merupakan kesinambungan daripada Kursus Risikan Syariah (Asas) yang telah dilaksanakan pada tahun lalu. Kursus lanjutan ini diadakan bertujuan untuk memperkukuh dan mempertingkatkan lagi kemahiran para peserta dalam bidang risikan, khususnya dalam aspek pengumpulan maklumat dan pelaksanaan siasatan berasaskan risikan.
 
Seramai 25 orang peserta telah menyertai kursus ini, yang terdiri daripada Pegawai-pegawai Penguatkuasa Agama Jabatan Agama Islam Negeri. Kursus ini menampilkan beberapa penceramah yang berpengalaman luas dalam bidang risikan dari Pusat Pengajian Sains Perisikan, Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur (MPDRMKL) yang telah berkongsi pelbagai kaedah dan teknik yang relevan dengan keperluan semasa.
 
Pelaksanaan kursus menggunakan dua pendekatan utama iaitu:
Kaedah teori - melibatkan sesi pembelajaran di dalam kelas yang memberi penekanan terhadap konsep, prinsip dan prosedur risikan.
Kaedah amali lapangan – memberi peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan pengetahuan secara langsung melalui latihan praktikal di lapangan.
Bagi memperkukuh keberkesanan pembelajaran, kursus ini turut mendapat bimbingan daripada fasilitator yang mempunyai kepakaran risikan dari Bahagian E2 Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur (MPDRMKL) iaitu DSP Adnan bin Kosni, DSP Mohd Anuar bin Basir dan ASP Mohammad Saiful Adli bin Mohammed Shobri yang berperanan membimbing dan memantapkan kemahiran peserta dalam melaksanakan teknik risikan secara lebih sistematik dan beretika.
 
Sepanjang pelaksanaan kursus, para peserta menunjukkan tahap komitmen, disiplin dan semangat pembelajaran yang amat membanggakan. Maklum balas yang diterima amat positif, menunjukkan bahawa objektif kursus telah berjaya dicapai dengan baik.
 
ILIM menaruh harapan agar semua peserta dapat mengaplikasikan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang kursus ini dalam tugasan seharian, khususnya dalam memperkukuh peranan institusi agama dalam melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan syariah dengan lebih berkesan dan berintegriti.
 
ILIM juga berharap agar jaringan kerjasama dan semangat profesional yang terjalin sepanjang kursus ini akan terus dikekalkan serta menjadi asas kepada pelaksanaan program pembangunan kompetensi yang lebih komprehensif pada masa akan datang.