WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Bangi, 30 Oktober 2025 – Satu sesi Corporate Visit ke Maybank Academy telah berlangsung dengan jayanya di Maybank Academy, Bangi hari ini. Sesi Corporate Visit ini diadakan bersempena Program Eksekutif Pengurusan Hal Ehwal Islam (PEPHEI) Siri 4/2025 yang berlangsung selama lima (5) minggu bermula pada 13 Oktober 2025 hingga 14 November 2025 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi.
 
Lawatan yang diketuai oleh Encik Zulkifli bin Tukiman selaku wakil kepada Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM diiringi oleh seramai seratus delegasi yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan ILIM dan peserta PEPHEI telah disambut mesra oleh Encik Wan Mohd Fathi bin Wan Nordin selaku Ketua Pembelajaran dan Persijilan Kumpulan Maybank bersama para Pegawai Agama Kumpulan Maybank.
 
Tujuan utama lawatan korporat ini adalah merupakan sebagai sebahagian daripada modul PEPHEI yang telah ditetapkan disamping untuk mendapatkan pendedahan secara langsung mengenai kejayaan Maybank sebagai institusi kewangan tempatan yang berjaya mengukir nama di peringkat antarabangsa, selain menimba pengalaman berharga dalam aspek kepimpinan, inovasi, budaya kerja berprestasi tinggi dan pengurusan berasaskan nilai.
 
Menurut wakil ILIM yang berucap mewakili delegasi:
“Kejayaan Maybank adalah lambang sinergi antara kekuatan organisasi dan keutuhan nilai kemanusiaan. Kami percaya banyak nilai dan amalan terbaik Maybank boleh dijadikan inspirasi untuk memperkasa institusi Islam agar lebih strategik, inovatif dan berdaya saing global.”
 
Lawatan ini turut membuka ruang potensi kerjasama strategik antara ILIM dan Maybank dalam bidang pembangunan kepimpinan Islam, latihan profesional dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
 
Di akhir lawatan, delegasi telah dibawa melawat sekitar ruang pameran dan kemudahan utama Maybank, diikuti dengan sesi pertukaran cenderamata serta sesi bergambar kenangan bersama wakil pengurusan kanan bank tersebut.
Lawatan korporat ini bukan sekadar program akademik, tetapi satu usaha memperkukuh hubungan antara dunia kewangan dan institusi Islam dalam membina kepimpinan yang berintegriti, berilmu dan berpaksikan nilai-nilai Ihsan.