BANGI, 30 Oktober 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) melalui Program Pembangunan Insan telah menganjurkan Kursus Heartbeats Mualaf bertempat di ILIM Kampus Utama Bangi bermula 28 hingga 30 Oktober 2025.
Kursus ini menghimpunkan penjawat awam daripada pelbagai agensi seperti JAKIM, JAIN, JAWI, Jabatan Penjara, AADK, YADIM dan lain-lain yang terlibat secara langsung dalam urusan bimbingan dan kebajikan mualaf. Penganjuran kursus bertujuan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran serta sikap profesional dalam pengurusan dan penghayatan Islam dalam kalangan saudara baharu, selaras dengan keperluan semasa di lapangan.
Sepanjang tiga hari penganjuran, peserta didedahkan dengan pelbagai topik penting antaranya Cabaran dan Konflik Mualaf, Tatacara Pengislaman, Pencegahan Murtad, serta Halatuju Pengurusan Mualaf. Sesi pembelajaran dikendalikan oleh barisan penceramah berpengalaman iaitu Bro Hafizi, Bro Hanif daripada Thinkerz Solution, serta Encik Faiq dan Puan Nurul Ain Mukri dari Hidayah Center Foundation.
Menariknya, kursus ini turut memperkenalkan penggunaan elemen Kecerdasan Buatan (AI) dalam menganalisis konflik dan tingkah laku mualaf, bagi membantu peserta memahami pola isu serta mencari pendekatan penyelesaian yang lebih efektif dan berasaskan data.
Selain itu, peserta turut mengikuti lawatan ilmiah ke Kompleks Darul Hidayah, JAWI pada hari kedua bagi memberi pendedahan langsung mengenai pelaksanaan bimbingan dan kebajikan mualaf di peringkat negeri.
Secara keseluruhannya, kursus ini disifatkan sebagai relevan, praktikal dan inovatif, serta menjadi platform penting dalam memperkasa kompetensi penjawat awam dalam usaha membimbing dan mengurus saudara baharu Islam dengan lebih berkesan.



