BANGI, 29 Oktober 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi hari ini menganjurkan Kursus Fiqh Muamalat Dalam Kewangan Islam pada 27 hingga 29 Oktober 2025 yang menghimpunkan seramai 40 orang peserta terdiri daripada pegawai Skim Perkhidmatan Hal Ehwal Islam serta penjawat awam pelbagai skim perkhidmatan kerajaan.
Kursus ini bertujuan meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan kesedaran peserta terhadap Fiqh Muamalat serta prinsip-prinsip kewangan Islam yang menjadi teras kepada sistem ekonomi berlandaskan syariah.
Sepanjang kursus berlangsung, para peserta didedahkan kepada pelbagai aspek penting termasuk hukum-hakam muamalat, struktur kewangan Islam, serta isu-isu semasa berkaitan transaksi, hutang, pelaburan dan kontrak Islam dalam konteks pentadbiran dan pengurusan kewangan semasa.
Selain itu, peserta turut berpeluang mengukuhkan kefahaman terhadap pelbagai istilah dan konsep asas fiqh muamalat seperti fiqh, maqasid syar‘iyyah, riba, gharar, maysir, aqad, murabahah, ijarah, musyarakah, wadiah, serta produk-produk kewangan Islam seperti bay‘ tawarruq dan pembiayaan peribadi berasaskan prinsip syariah.
Kursus ini menampilkan penceramah berpengalaman dalam bidang kewangan dan undang-undang Islam, Tuan Muhammad Aiman Mohamad Salmi, seorang Fellow Chartered Professional in Islamic Finance (F.CPIF) dan Certified Shariah Adviser & Auditor (CSAA).
Penganjuran kursus ini diharap dapat membantu para pegawai mengaplikasikan prinsip fiqh muamalat dalam urusan pentadbiran dan kewangan organisasi, seterusnya memperkukuh integriti serta ketelusan pengurusan kewangan di sektor awam.
ILIM komited untuk terus memainkan peranan sebagai pusat latihan rujukan dalam memperkukuh kefahaman Islam dalam kalangan penjawat awam, seiring usaha melahirkan modal insan berintegriti, berilmu dan berakhlak tinggi.



