WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Bangi, 22 Oktober 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam (PKKI) terus komited memperkukuh kecekapan pegawai dan pembantu aset apabila berjaya menganjurkan Kursus Pengurusan Aset Alih Kerajaan selama dua hari bermula 21 hingga 22 Oktober 2025 di ILIM Kampus Utama Bangi.
 
Kursus yang dikendalikan oleh Tuan Muhammad Zahri bin Mohd Hassan daripada Kementerian Kewangan Malaysia ini memberi tumpuan kepada kefahaman menyeluruh tentang pengurusan aset kerajaan bermula daripada proses penerimaan, pendaftaran, penyimpanan, penyelenggaraan sehinggalah ke pelupusan dan hapuskira aset. Pendekatan penyampaian santai namun padat dengan contoh sebenar menjadikan sesi ini mudah difahami dan menarik perhatian peserta.
 
Sepanjang kursus, peserta bukan sahaja belajar tentang tatacara dan peraturan semasa, malah turut berkongsi pengalaman serta cabaran sebenar dalam mengurus aset di tempat kerja masing-masing. Suasana kursus yang interaktif turut membantu peserta memahami kepentingan akauntabiliti dan integriti dalam memastikan setiap aset kerajaan diurus dengan teratur dan berhemah.
 
Secara keseluruhannya, kursus ini berjaya mencapai matlamatnya dalam meningkatkan kesedaran serta kemahiran pengurusan aset dalam kalangan penjawat awam. ILIM melalui PKKI akan terus memainkan peranan aktif dalam memperkasa kompetensi warga kerja selaras dengan aspirasi perkhidmatan awam yang cekap dan berintegriti.