WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Bangi, 25 September 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan Kursus Kejurulatihan Profiling Kewangan Islam (Islamic Investment Planning) pada 23 hingga 25 September 2025, bertempat di Bilik Al-Khawarizmi, ILIM Bangi. Kursus ini melibatkan seramai 33 orang peserta terdiri daripada pegawai Hal Ehwal Islam dan penjawat awam.
 
Kursus selama tiga hari ini bertujuan untuk mempertingkatkan kompetensi pegawai dalam memahami dan mengaplikasikan konsep pengurusan kewangan Islam, khususnya dalam aspek perancangan kewangan dan pelaburan berteraskan syariah.
 
Antara objektif utama kursus ini ialah:
1. Memberi pendedahan mengenai konsep perancangan kewangan Islam.
2. Meningkatkan kefahaman teori dan praktikal pengurusan kewangan Islam.
3. Melahirkan pegawai rujukan dalam bidang ini di peringkat jabatan dan agensi.
 
Slot-slot latihan telah dikendalikan oleh Tuan Nasir Mustafa daripada Nasque Training & Consultancy, meliputi topik seperti Pengenalan Profiling Kewangan Islam, Jenis-Jenis Kadar, Penstrukturan Pelaburan, Sampel Pelaburan Kewangan, Pengurusan Wasiat dan Perlindungan Kewangan.
 
Menurut penyelaras kursus, Puan Wan Esma binti Wan Ahmad, penganjuran ini merupakan satu usaha strategik dalam melahirkan pegawai yang berkemahiran dan boleh dijadikan rujukan dalam hal ehwal kewangan Islam di agensi masing-masing.
 
Majlis penutup telah diadakan pada 25 September 2025 dengan penyampaian rumusan program serta penilaian keberkesanan latihan. ILIM berharap kursus ini dapat membantu menyelesaikan isu-isu kewangan di kalangan pegawai dan pelaksana, seterusnya memberi impak positif di peringkat jabatan dan kementerian.