BANGI, 19 September 2025 – Kursus Islamic Affairs: Governance and Administration anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melabuhkan tirainya malam ini selepas berlangsung selama dua minggu.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM, yang menekankan bahawa tadbir urus Islam yang adil, berintegriti dan berpaksikan khidmat kepada masyarakat, di samping kerjasama antarabangsa, merupakan kunci dalam memperkukuh institusi Islam pada era globalisasi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) atas sokongan sebagai rakan kerjasama strategik bagi program ini.
Kursus ini telah menghimpunkan pegawai daripada Ministry of Islamic Affairs Maldives dan Maldives Police Force, dengan fokus kepada perkongsian pengalaman, pengukuhan jaringan kerjasama, serta penerapan amalan terbaik dalam pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Islam.
Menurut Pengarah Kanan ILIM, program ini bukan sahaja memberi peluang kepada Malaysia untuk berkongsi kepakaran, malah turut membuka ruang pembelajaran daripada pengalaman Maldives, khususnya dalam konteks pengurusan hal ehwal Islam di negara kepulauan.
Kejayaan kursus ini menjadi bukti kepada komitmen berterusan Malaysia dan Maldives dalam memperkukuh hubungan dua hala melalui latihan antarabangsa serta pertukaran pengalaman strategik.





