WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Bangi, 11 September 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) JAKIM Kampus Utama Bangi melalui Program Teras dengan kerjasama Bahagian Penyelidikan JAKIM telah berjaya menganjurkan Kursus The Eagle Intelligence: Memperkasa Akidah, Menangkis Pemikiran Menyimpang. Kursus ini berlangsung selama empat hari, bermula pada 8 hingga 11 September 2025.
 
Kursus ini merupakan latihan dalaman (in-house training) yang bertujuan memenuhi fungsi tugas mengikut penempatan jawatan serta meningkatkan kompetensi peserta dalam aspek kemahiran merisik, memantau, menyelidik dan menganalisis maklumat. Peserta terdiri daripada pegawai Bahagian Penyelidikan JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) serta anggota KAGAT dari seluruh negara.
 
Selain itu, kursus ini turut memperkukuh usaha kerjasama dan perkongsian maklumat dalam menangani isu-isu semasa berkaitan akidah dan hal ehwal Islam di Malaysia. Kemunculan isu-isu baharu dalam aspek akidah dan syariah, khususnya melalui media digital dan lapangan, memerlukan tindakan segera serta kemahiran mantap agar dapat ditangani dengan lebih sistematik.
 
Seramai 31 orang Pegawai Hal Ehwal Islam (gred S19 – S48) telah menyertai kursus ini. Sepanjang program, lapan orang penceramah pakar daripada pelbagai agensi seperti JAKIM, PDRM, MKN, MDIO, SKMM, JPM serta pensyarah universiti telah dijemput untuk berkongsi ilmu, kemahiran dan pengalaman. Topik yang dibentangkan meliputi pemantauan isu semasa agama, kemahiran risikan, gerak saraf perang saraf (GSPS), teknik pemantauan media siber serta pemikiran dan analisis strategik.
 
Pada sesi rumusan program, para peserta menegaskan bahawa kursus ini merupakan platform penting bagi penyelidik akidah untuk berhimpun, menimba ilmu serta meningkatkan kemahiran dalam aspek risikan berkaitan akidah.
 
Diharapkan para peserta akan terus mendalami ilmu dan kemahiran ini serta memperkukuhkan jaringan kerjasama khususnya antara pegawai penyelidik JAKIM dan JAIN bagi mempertingkatkan mutu penyelidikan dan risikan akidah pada masa hadapan.