Bangi, 7 September 2025 – ILIM mengalu-alukan kehadiran 17 orang delegasi Kementerian Hal Ehwal Islam dari Kepulauan Maldives bagi menghadiri Kursus Islamic Affairs in Malaysia: Governance & Administration 2025 dari 7 hingga 21 September 2025.
Delegasi terdiri daripada Menteri dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Islam, Pegawai kanan dan para imam dari Kepulauan Maldives.
Kursus ini bertujuan memperkukuh kefahaman peserta antarabangsa terhadap sistem tadbir urus dan pentadbiran Islam di Malaysia melalui pendedahan kepada institusi, dasar dan amalan terbaik, di samping meningkatkan kemahiran praktikal dalam pengurusan institusi Islam melalui lawatan, bengkel dan kerjasama dengan agensi utama.
Program ini juga menjadi platform memupuk penghargaan rentas budaya serta menggalakkan sikap positif ke arah kerjasama pentadbiran hal ehwal Islam antara Malaysia dan komuniti antarabangsa.
Kursus ini memberi tumpuan kepada amalan terbaik Malaysia dalam tadbir urus hal ehwal Islam antaranya merangkumi:
Pengurusan Halal
Pengurusan Haji & Umrah
Pengurusan Pengebumian Jenazah
Sistem Kewangan Islam
Pelaksanaan Undang-Undang Syariah
Pengurusan Fatwa
Pengurusan Masjid
Pendidikan dan Latihan Islam
Ilmu Falak Islam
Delegasi turut mengadakan lawatan rasmi ke agensi-agensi berkaitan bagi memperkukuh pemahaman serta hubungan dua hala antara Malaysia dan Maldives.
ILIM mengucapkan selamat datang – semoga lawatan ini memberi manfaat dan keberkatan.




