Bangi, 8 Ogos 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah berjaya menganjurkan Kursus Rintis Modul Penguatkuasaan Syariah selama lima hari, bermula 4 hingga 8 Ogos 2025, bertempat di ILIM Kampus Utama. Kursus ini dirangka khusus bagi memperkukuh kefahaman dan kompetensi pegawai penguatkuasa negeri-negeri dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan serta penyiasatan syariah dengan mematuhi tatacara perundangan, etika, dan amalan terbaik.
Objektif utama kursus ini adalah untuk meningkatkan keupayaan peserta sebagai saksi yang berwibawa dalam prosiding mahkamah, di samping menilai keberkesanan, kebolehgunaan, dan kebolehpercayaan modul yang dibangunkan secara sistematik. Peserta juga diberi pendedahan menyeluruh terhadap proses penguatkuasaan syariah melalui pendekatan teori dan praktikal.
Sepanjang program, peserta mengikuti slot-slot pembelajaran yang padat dan interaktif merangkumi persediaan sebelum, semasa dan selepas operasi; pengurusan kertas siasatan; penyediaan diari siasatan; latihan amali operasi di lapangan; pembentangan kes; serta simulasi prosiding perbicaraan di Mahkamah Syariah. Latihan ini dibimbing oleh barisan tenaga pengajar berpengalaman dan mempunyai kepakaran luas dalam bidang penguatkuasaan Syariah.
Kursus ini turut memberi ruang kepada peserta untuk melaksanakan latihan simulasi yang menyerupai situasi sebenar di lapangan, sekali gus mengasah kemahiran teknikal, meningkatkan keyakinan diri, dan memupuk integriti yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab.
Majlis penutup kursus telah disempurnakan oleh Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM yang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat. Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kursus ini mampu melahirkan Pegawai Penguatkuasa Agama yang lebih profesional, berkemahiran tinggi, dan bersedia mendepani cabaran penguatkuasaan Syariah.



