LAWAS, 3 Julai 2025 – Kefahaman terhadap penentuan waktu solat secara saintifik dan berpaksikan hukum syarak terus diperkasa menerusi penganjuran Kursus Aplikasi Sains Waktu Solat yang telah berlangsung selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Julai 2025 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lawas yang diselaraskan secara kolaborasi sinergi antara ILIM Kampus Utama Bangi dan Kampus Lawas. Kursus ini berjaya menghimpunkan seramai 42 peserta dari dua (2) Wilayah iaitu Sarawak dan Sabah dalam kalangan agensi kerajaan dan badan beruniform. Usaha ini menjadi platform berimpak tinggi ke arah usaha memperkasa kefahaman falak dalam kalangan pegawai kerajaan.
Kursus ini dikendalikan oleh Tuan Haji Nik Abdul Rahman Mustapha, Panel Pakar Falak Wilayah Persekutuan dengan sokongan kepakaran falak dari perunding latihan ILIM berkaitan kaedah pengiraan dan pengukuran waktu solat. Kaedah ini berasaskan kepada kaedah hitungan astronomi yang diselaraskan dengan prinsip-prinsip syarak, sekaligus menyediakan peserta dengan kefahaman yang mantap, tepat dan praktikal.
Objektif utama kursus ini adalah untuk memperkukuhkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam menentukan waktu solat dengan pendekatan berasaskan data saintifik di samping memahami aplikasi syarak yang mendasarinya. Kursus ini dilaksanakan menggunakan pendekatan latihan orang dewasa yang bersifat interaktif dan praktikal, merangkumi sesi teori, bengkel simulasi, serta latihan amali pengukuran sebenar di lapangan.
Ucapan perasmian mewakili Pengarah Kanan ILIM telah disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Roska bin Mohamed Rasidek, Ketua Penolong Pengarah Program Teras, semasa majlis penutupan kursus. Majlis turut dihadiri oleh Encik Sheikh Hadzrei Adam Seberi, Pengarah ILIM Kampus Lawas. Sijil penyertaan telah disampaikan kepada para peserta sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan kesungguhan mereka sepanjang program berlangsung.
Penganjuran kursus ini membuktikan komitmen ILIM dalam memperkukuh profesionalisme Hal Ehwal Islam melalui pemerkasaan latihan falak yang berasaskan disiplin sains dan syarak, seiring keperluan semasa dan cabaran masa depan.




