WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

SANDAKAN, 06 Julai 2025 - Program Kecemerlangan Pengurusan Hal Ehwal Islam (PKPHEI), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lahad Datu, JAKIM dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Daerah Sandakan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sandakan, Jawatankuasa Dakwah Daerah Sandakan dan Masjid Daerah Sandakan telah menganjurkan suatu program yang diberi nama sebagai Sanggar Masjid 2.0; Kursus Profesionalisme & Tatakelola Kompeten pada 5 – 6  Julai 2025 (Sabtu – Ahad) bertempat di Dewan Serbaguna, Masjid Daerah Sandakan.

Kursus yang berlangsung selama dua hari ini berjaya menghimpunkan kira-kira 220 orang peserta dalam kalangan imam dan jawatankuasa utama masjid seperti pengerusi, setiausaha dan bendahari dari beberapa buah daerah di Bahagian Sandakan. Antara daerah yang terlibat adalah Kinabatangan, Tongod, Telupid, Beluran dan Sandakan.

Objektif utama penganjuran kursus ini adalah untuk memberikan pendedahan dan kefahaman berkenaan nilai profesionalisme dan tatakelola yang terpuji dalam menguruskan masjid sebagai pusat penyatuan ummah. Selain itu, kefahaman dan kemahiran para peserta berkenaan pengurusan dan pengimarahan masjid juga dapat ditingkatkan sekali gus membuahkan kemahiran kepimpinan yang efektif agar tugas dapat dilaksanakan secara lebih berkesan. Aspek integriti dan etika yang sewajarnya dipatuhi dalam pengurusan masjid turut diberi penekanan agar tanggungjawab sosial dan komuniti dapat diurus dengan lebih tertib dan terpuji.

Beberapa slot pengisian diketengahkan sepanjang berlangsungnya kursus ini. Antaranya ialah Minda Anti Rasuah; Peranan Budaya Organisasi & Kepimpinan Beretika Dalam Merealisasikan Tatakelola Terpuji, dituruti dengan slot kedua yang bertajuk Akta SPRM 2009 yang disampaikan oleh YBrs. Tuan Shuhaimi bin Abd Manaf; Penolong Kanan Penguasa SPRM Daerah Sandakan. Seterusnya, slot ketiga bertajuk Tatakelola Kewangan Masjid Berdasarkan Garis Panduan Tadbir Urus Masjid Di Sabah yang disampaikan oleh YBrs. Ustaz Rahim Yahya bin Abd Rahman; Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pentadbiran Masjid Wilayah & Daerah. Pada hari kedua, sesi pengisian dimulakan dengan slot keempat yang bertajuk Kepimpinan & Tadbir Urus Masjid Abad Ke-21; Amanah, Karisma & Strategi, seterusnya slot kelima yang bertajuk Pembangunan Komuniti Sejahtera; Fungsi & Peranan Masjid yang disampaikan oleh YBrs. Ustaz Haji Awang Juri bin Ag. Tahir; Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Islam) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS). Sesi pengisian terakhir pula disampaikan oleh YBrs. Ustaz Mizzuan bin Jafilus; Pengarah ILIM Kampus Lahad Datu berkenaan Komponen Pengimarahan Masjid sebagaimana yang terkandung dalam Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM).

Majlis perasmian penutupan program telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Hj. Norjeli bin Hj. Dais; Pengarah JAKIM Cawangan Sabah. Dalam ucapan perasmian penutupan tersebut, beliau menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur dan peserta atas komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menjayakan program ini. Beliau turut menegaskan kepentingan memperkukuh profesionalisme serta tadbir urus institusi masjid agar terus kekal relevan sebagai pusat pembangunan ummah yang holistik dan berdaya saing.