Besut, 25 Jun 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam (PKKI) dan ILIM Cawangan Besut telah berjaya melaksanakan Program Transformasi Bil. 2/2025 dengan penglibatan aktif serta semangat tinggi dalam kalangan para peserta.
Program ini merupakan kesinambungan komitmen ILIM dalam memperkasa budaya kerja cemerlang, memupuk semangat kerja berpasukan serta menyemai nilai integriti dan profesionalisme dalam kalangan pegawai.
Antara pengisian utama sepanjang program ini termasuk sesi motivasi, aktiviti latihan dalam kumpulan, pembentangan cadangan penambahbaikan perkhidmatan, serta slot khas perkongsian pengalaman yang disampaikan sendiri oleh Pengarah Kanan ILIM, Puan Nor Safina Zainal. Program turut diserikan dengan pelbagai aktiviti interaktif yang menyemai nilai-nilai positif serta mencungkil bakat kepimpinan dalam kalangan peserta.
Dalam ucapan perasmian penutup, Puan Nor Safina Zainal menekankan bahawa transformasi organisasi perlu bermula daripada diri sendiri, dan setiap pegawai memainkan peranan penting dalam merealisasikan visi dan misi ILIM secara menyeluruh.
Program diakhiri dengan penyampaian sijil penyertaan kepada semua peserta, selain penghargaan khas diberikan kepada kumpulan terbaik berdasarkan prestasi sepanjang program. Para peserta menyifatkan program ini sebagai satu platform pembangunan diri yang berkesan, bukan sahaja dalam meningkatkan kesedaran dan nilai kerja, malah dalam mengukuhkan jaringan profesional dalam kalangan warga ILIM.
ILIM terus komited melaksanakan program pembangunan kendiri dan kepimpinan secara berterusan sebagai usaha melahirkan modal insan yang berdaya tahan, berintegriti dan kompeten dalam menyokong agenda pembangunan insan negara.




