Kundasang, 26 Jun 2025 – Kursus Faraid (Merungkai Pembahagian Pusaka Islam) anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi dan ILIM Kampus Kundasang telah berjaya dilaksanakan pada 24 hingga 26 Jun 2025 bertempat di Dewan Tun Mustapha, ILIM Kundasang. Kursus ini berjaya menghimpunkan seramai 40 orang peserta daripada pelbagai agensi agama dan kerajaan di Negeri Sabah dan Sarawak.
Kursus ini berobjektifkan meningkatkan pengetahuan dan maklumat tentang ilmu Faraid disamping itu, mempertingkatkan kemahiran dan kecekapan dalam mengira dan pembahagian harta Faraid, serta melahirkan pegawai yang boleh menjadi rujukan dalam bidang Faraid.
Kursus selama tiga hari ini telah memberi tumpuan kepada penguasaan peringkat asas dan latihan pengiraan Faraid secara intensif. Antara pengisian utama kursus ini termasuklah sesi pengenalan ilmu Faraid, kaedah pengiraan pembahagian pusaka, serta perbincangan isu-isu semasa berkaitan pengurusan harta pusaka dalam Islam. Penceramah utama bagi slot teknikal ialah YBrs. Dr. Jaharuddin bin Padli, Pensyarah Kanan dari Universiti Malaysia Terengganu, manakala sesi pengenalan dan ice-breaking telah dijayakan oleh Puan Wan Esma binti Wan Ahmad, Penolong Pengarah Kanan dari ILIM Bangi.
Majlis perasmian penutup dan penyampaian sijil telah disempurnakan oleh YBrs. Ustaz Syed Abdullah Al-Jufri, Pengarah ILIM Kampus Kundasang yang turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta atas komitmen dan penglibatan aktif sepanjang kursus berlangsung.
Penganjuran kursus ini diharap dapat melahirkan lebih ramai pegawai rujukan yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam pengiraan Faraid serta menjadi pemudah cara kepada masyarakat dalam urusan pembahagian harta pusaka menurut syarak.




