WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
ILIM Bangi, 26 Jun 2025 - Alhamdulillah, Kursus Penulisan Deep Dakwah telah berjaya dilaksanakan pada 24 hingga 26 Jun 2025 bertempat di ILIM Bangi. Seramai 27 orang peserta dari pelbagai agensi kerajaan telah menyertai kursus ini yang memberikan pendedahan tentang teknik dan pendekatan menghasilkan penulisan dakwah yang lebih kreatif, berimpak tinggi, dan dekat dengan jiwa masyarakat hari ini.
 
Sepanjang tiga hari berlangsung, peserta dibimbing secara intensif untuk menulis skrip drama pendek dan lirik lagu dakwah yang mengangkat mesej Islam dengan gaya penyampaian yang segar dan menyentuh hati. Antara pengisian utama yang menjadi tumpuan ialah bengkel penulisan skrip dakwah yang dikendalikan oleh Puan Maizurah Ederis, penulis skrip drama dan filem berpengalaman, serta sesi penulisan lirik lagu dakwah bersama En. Huzaimi bin Zaini, penulis lirik dan ahli kumpulan nasyid terkenal, Nowseeheart.
 
Kursus ini turut merangkumi sesi pembangunan idea, bimbingan bengkel penulisan, dan pembentangan hasil karya peserta. Ia bukan sahaja mencungkil bakat baharu dalam dunia penulisan, malah menjadi platform penting untuk memperkasakan dakwah melalui medium seni dan hiburan yang berhemah.
 
Majlis penutup kursus ini telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Kasumawati binti Kasim, Ketua Penolong Pengarah, Program Pembangunan Insan, ILIM. Beliau turut menyampaikan penghargaan dan sokongan terhadap usaha melahirkan lebih ramai penulis dakwah yang berwibawa dan kontemporari.
 
Syabas dan tahniah kepada semua peserta dan penceramah yang telah menjayakan kursus ini. Semoga segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh menjadi penyambung usaha dakwah yang lebih segar dan bermakna.