Bangi, 12 Jun 2024 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam (PKKI) telah menganjurkan Kursus Kemahiran Penyelesaian Masalah dan Membuat Keputusan pada 10 hingga 12 Jun 2024 (Selasa – Khamis) bertempat di Bilik Kuliah Abdul Qadir al-Jailani, ILIM Bangi.
Kursus ini diadakan bagi memberikan pendedahan kepada peserta mengenai asas keperluan membuat keputusan serta kaitannya dengan kewujudan masalah yang dihadapi dalam pelbagai konteks. Selain itu, peserta turut didedahkan kepada teknik pemikiran kreatif dan analitikal dalam menganalisis persekitaran serta menangani cabaran yang timbul dalam proses membuat keputusan.
Lebih menarik, kursus ini turut mengetengahkan pendekatan Islam dalam penyelesaian masalah dan pembuatan keputusan dengan merujuk kepada prinsip yang digariskan dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Pendekatan ini penting bagi memastikan keputusan yang dibuat adalah berlandaskan nilai-nilai Islam yang syumul dan berintegriti.
Seramai 20 orang peserta daripada pelbagai latar belakang profesional telah menyertai kursus ini. Mereka berpeluang menimba ilmu dan kemahiran secara langsung daripada dua orang penceramah jemputan berpengalaman, iaitu Encik Khairul Azhar bin Idris, Felow Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), dan Encik Ashafizrol bin Ab Hamid, Penyampai Jemputan Radio IKIM, yang turut berkongsi pandangan praktikal berdasarkan pengalaman beliau dalam komunikasi dan penceritaan berimpak tinggi.
Sepanjang kursus, sesi pembentangan dan soal jawab telah diadakan bagi memastikan peserta memahami kandungan yang disampaikan serta berpeluang mengemukakan soalan dan berkongsi pandangan berdasarkan situasi sebenar.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta atas komitmen yang ditunjukkan. Diharapkan segala ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat dimanfaatkan serta diimplementasikan dalam kehidupan seharian dan bidang kerjaya masing-masing, selaras dengan matlamat melahirkan pemimpin yang berfikir secara strategik, bertanggungjawab dan beretika.




