WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
 
BESUT, 29 Mei 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam (PKKI) dengan kerjasama ILIM Kampus Besut telah berjaya menganjurkan Program Transformasi JAKIM Siri 1/2025: Transformasi Menjamin Kelangsungan Organisasi. Program ini telah berlangsung selama empat (4) hari, bermula dari 26 hingga 29 Mei 2025.
 
Penganjuran program ini bertujuan untuk membentuk kepimpinan diri, memperkukuh semangat berpasukan, serta meningkatkan tahap profesionalisme dalam kalangan pegawai JAKIM, sejajar dengan aspirasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan hala tuju perkhidmatan awam.
 
Seramai 35 orang peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai JAKIM pelbagai skim, dari Gred 12 hingga Gred 14, mewakili pelbagai agensi, telah menyertai program ini. Antara agensi yang terlibat termasuklah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak, Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Labuan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, dan Jabatan Agama Islam Selangor.
 
YBhg. Tuan Haji Shamsul Amri bin Abdul Razak, Jurulatih Utama dari SABAR Training and Resources telah dijemput sebagai panel penceramah dalam program ini.
 
Program ini turut diserikan dengan sesi Sharing Session yang disampaikan oleh YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM yang turut merasmikan majlis penutup program.
 
Diharapkan program ini menjadi pemangkin kepada kelangsungan dan kecemerlangan organisasi JAKIM menerusi pembangunan kepimpinan yang berterusan.