WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
ILIM Bangi - 28hb Mei 2025 - Kursus Saksi Kompeten telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya selama 3 hari bermula 26hb Mei 2025 hingga 28hb Mei 2025 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi. Matlamat utama kursus ini dianjurkan adalah bagi memberi pengetahuan dan kefahaman kepada para peserta iaitu Pegawai Penguatkuasa Agama JAIN dan MAIN berkaitan dengan prosiding perbicaraan di Mahkamah Syariah, khususnya dari aspek peranan dan kelayakan seseorang saksi dalam sesuatu kes.
 
Penceramah yang berpengalaman luas dalam bidang perundangan yang dijemput sepanjang kursus ini adalah Tuan Atras bin Mohamad Zin selaku Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka, Tuan Shafezan bin Rusli selaku Pegawai Syariah Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang dan Tuan Mohamad Saufi bin Mastor Lani selaku Ketua Seksyen Perundangan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor. Ketiga-tiga penceramah telah berkongsi ilmu dan pengalaman yang sangat berguna, merangkumi aspek teori serta praktikal berkaitan tatacara dan etika menjadi saksi yang kompeten di Mahkamah Syariah.
 
Kursus ini telah mendapat sambutan dan komitmen yang sangat baik daripada semua peserta yang hadir. Mereka turut menunjukkan minat yang tinggi serta penglibatan aktif terutama dalam sesi prosiding perbicaraan di mahkamah simulasi. ILIM meletakkan harapan agar melalui kursus ini, para peserta bukan sahaja dapat meningkatkan kefahaman mereka terhadap sistem kehakiman syariah, malah bersedia menjadi saksi yang berintegriti dan berkualiti sekiranya diperlukan dalam prosiding mahkamah.