Kundasang, 30 April 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Kundasang telah menerima lawatan audit dan penilaian Standard Kualiti Pengurusan (SKP) pada 28 hingga 30 April 2025. Lawatan ini merupakan salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi tahun 2025.
Pelaksanaan audit ini mencerminkan komitmen berterusan ILIM dalam menjamin kualiti pengurusan dan penyampaian latihan yang menyeluruh di semua kampusnya.
Antara objektif utama audit dan penilaian ini adalah untuk:
Menilai tahap pematuhan ILIM Kampus Kundasang terhadap Standard Kualiti Pengurusan (SKP) yang telah ditetapkan;
Mengenal pasti kekuatan serta ruang penambahbaikan dalam aspek pengurusan, latihan, kemudahan fizikal, dan penyampaian latihan; serta
Memberi khidmat nasihat ke arah penambahbaikan berterusan berdasarkan dapatan audit.
Seramai tiga (3) orang pegawai telah dilantik sebagai auditor bagi menjalankan penilaian ini. Pasukan audit diketuai oleh Encik Hamdi bin Haya, bersama dua lagi ahli iaitu Encik Khairuddin bin Abdullah dan Puan Nik Suhaila binti Nik Muhammad. Mereka bertanggungjawab menilai pelbagai aspek termasuk pengurusan, latihan, fasiliti dan pematuhan terhadap garis panduan SKP ILIM.
Hasil daripada penilaian ini akan digunakan untuk penambahbaikan berterusan serta memastikan penyampaian di ILIM Kampus Kundasang mencapai standard kualiti yang telah ditetapkan.




