KUNDASANG, 30 April 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi dengan kerjasama strategik ILIM Kampus Kundasang telah menganjurkan Kursus Pemahaman Akidah dan Pemikiran Islam pada 28 hingga 30 April 2025 bertempat di Dewan Tun Mustapha, ILIM Kampus Kundasang.
Kursus ini disertai oleh 43 peserta terdiri daripada pegawai pelbagai agensi perkhidmatan awam termasuk JAKIM Sabah, JHEAINS, KEMAS, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, YADIM dan agensi lain.
Penganjuran kursus ini bertujuan memperkukuhkan pemahaman terhadap akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta menangani cabaran pemikiran semasa dan pengaruh ajaran sesat dalam kalangan penjawat awam.
ILIM turut menampilkan barisan penceramah berwibawa dalam bidang akidah dan pemikiran Islam iaitu YBrs. Dr. Mohamed Fairooz bin Mohamed (Universiti Islam Sabah), En. Tasawuf bin Hasan (JHEAINS), En. Nik Ismail bin Jusoh (ILIM) serta En. Pg. Mohd Hanif bin Ag. Omar (Jabatan Mufti Negeri Sabah).
Majlis penutupan kursus telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM. Turut hadir memeriahkan majlis ialah YBrs. En. Mohd Roska bin Mohamad Rasidek, Ketua Penolong Pengarah ILIM dan YBrs. Syed Abdullah Al Jufri bin Said Maamor, Pengarah ILIM Kampus Kundasang.
ILIM terus komited menjadi peneraju dalam latihan dan pembangunan kefahaman Islam yang berasaskan akidah yang sahih, sejajar dengan usaha memperkasa modal insan sektor awam yang berintegriti dan berdaya tahan terhadap cabaran pemikiran kontemporari.



