BANGI, 30 April 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) melalui Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam telah menganjurkan Kursus Peningkatan Imej dan Ketrampilan Profesional pada 29 hingga 30 April 2025 bertempat di Kampus Utama ILIM, Bangi.
Kursus ini bertujuan meningkatkan pengetahuan peserta mengenai konsep ketrampilan diri dan pembentukan imej berkesan, di samping memupuk budaya profesionalisme serta keyakinan diri dalam konteks kerjaya. Seramai 84 peserta daripada pelbagai agensi telah menyertai kursus intensif selama dua hari ini.
Pengendalian kursus oleh Puan Muna Izzah binti Fadzil menampilkan pendekatan interaktif dan praktikal, merangkumi latihan komunikasi, penampilan profesional serta pembangunan potensi diri. Program ini turut memberi penekanan kepada nilai-nilai murni dan etika kerja sebagai asas kepada kecemerlangan peribadi dan organisasi.
ILIM terus komited membangunkan modal insan berwibawa melalui latihan berstruktur yang menyokong pembentukan kepimpinan Islam yang profesional, dinamik dan berintegriti.