BANGI, 13 Mac 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) berjaya menganjurkan Webinar Ramadan: Into The Taqwa Siri 2 bertajuk "Ramadan Pergi, Taqwa Jangan Mati". Program yang berlangsung secara dalam talian melalui Google Meet ini menarik penyertaan seramai 600 peserta dari pelbagai agensi kerajaan, mencerminkan kesungguhan mereka dalam meneruskan amalan ketaqwaan selepas Ramadan.
Webinar ini menampilkan Ustaz Najmuddin bin Abdul Karim, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pelajaran, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), sebagai penceramah utama. Beliau menegaskan bahawa untuk memastikan ketaqwaan terus subur, umat Islam perlu berpegang teguh kepada sumber hukum yang sahih, memperkukuhkan ibadah secara berterusan, serta menuntut ilmu berasaskan al-Quran, sunnah Rasulullah SAW dan panduan ulama muktabar. Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan memperbanyakkan bacaan dan tadabbur al-Quran sebagai panduan hidup sepanjang tahun.
Sambutan luar biasa terhadap program ini membuktikan kesedaran tinggi dalam kalangan peserta untuk menjadikan Ramadan sebagai titik perubahan, bukan sekadar amalan bermusim. ILIM berharap inisiatif ini akan terus diperluaskan agar umat Islam dapat memperkukuhkan hubungan dengan Allah SWT sepanjang hayat.


