Bangi, 28 Februari 2025 – Perhimpunan ILIM Bil 2.2025 disempurnakan oleh Pengarah Kanan ILIM, Puan Nor Safina Zainal di Dewan Datuk Mohd Shahir, ILIM Kampus Utama Bangi. Dalam ucapannya, Puan Nor Safina Zainal menekankan kepentingan integriti dan profesionalisme dalam setiap program latihan yang dijalankan di ILIM.
Beliau turut berkongsi ulasan mengenai buku The Mountain is You oleh Brianna Wiest, yang memberi inspirasi untuk mengatasi "gunung" dalam diri yang menghalang kemajuan. Beliau turut mengaitkan mesej buku ini dengan kehidupan di ILIM, mengingatkan bahawa setiap cabaran yang kita hadapi, baik peribadi mahupun profesional, adalah peluang untuk melakukan transformasi. “Buku ini mengajarkan kita bahawa penghalang terbesar dalam hidup adalah diri kita sendiri, dan untuk mencapai kecemerlangan, kita perlu mengatasi ketakutan dan keraguan dalam diri,” kata beliau.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah atas pelaksanaan program-program besar ILIM yang menandakan permulaan yang sangat baik bagi tahun 2025 ini ke arah mencapai status Centre of Excellence (COE), ujarnya lagi.
Beliau turut menyampaikan ucapan selamat menyambut bulan Ramadan yang bakal tiba, menyeru warga ILIM untuk menyambutnya dengan hati yang bersih dan semangat yang tinggi.
Perhimpunan ini diakhiri dengan penyampaian hadiah penghargaan kepada kakitangan yang telah bertukar.
Semoga ILIM terus berkembang dan memberi impak positif kepada umat Islam di Malaysia.



