WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Lahad Datu | 19 Februari 2025

Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lahad Datu, JAKIM melalui Program Kecemerlangan Pengurusan Hal Ehwal Islam (PKPHEI) telah menganjurkan Qanun Sphere; Kursus Pengenalan Undang-Undang Syariah dengan jayanya selama dua hari satu malam, bermula 18 hingga 19 Februari 2025 di Bilik Kuliah Yusuf al-Qaradawi, ILIM Lahad Datu.

Objektif utama penganjuran kursus ini adalah untuk memberi pendedahan kepada para peserta berkenaan Undang-Undang Syariah dan peruntukan-peruntukan yang berhubung dengannya. Selain itu, kemahiran dalam memahami dan mentafsir undang-undang turut ditekankan kepada para peserta agar ia dapat difahami dengan lebih tepat dan menyeluruh seterusnya membentuk sikap profesionalisme dan komitmen yang tinggi dalam pelaksanaan undang-undang tersebut dengan lebih berkesan.

Seramai 31 orang peserta telah menghadiri kursus yang dianjurkan ini. Rata-ratanya adalah penjawat awam yang terdiri daripada anggota beruniform seperti PDRM, Jabatan Penjara Malaysia (Penjara Lahad Datu), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Lahad Datu, dan selebihnya adalah Kader JAKIM, para imam di bawah seliaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan guru KAFA dari pelbagai daerah di Pantai Timur Sabah.

Dua orang penceramah yang berpengalaman luas dan berkemahiran tinggi telah diundang khas sebagai tenaga pengajar sepanjang berlangsungnya kursus ini. Mereka adalah Ustaz Hj. Ahmad Zaki bin Hj Hamzah; Timbalan Pegawai Agama Islam Daerah Tampin, JHEAINS (Negeri Sembilan) merangkap Panel Pakar Rujuk Undang-Undang, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), dan Ustaz Asmuni bin Ali; Pegawai Tadbir Agama. JHEAINS Daerah Semporna.

Majlis penutupan kursus disempurnakan oleh YBrs Ustaz Mizzuan bin Jafilus; Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia Kampus Lahad Datu.