WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Bangi, 20 Februari 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) JAKIM Kampus Utama Bangi melalui Seksyen Akidah dan Pemikiran Islam di bawah Program Teras telah berjaya melaksanakan Kursus Comparative Religion: Intipati Agama-Agama Dunia yang berlangsung selama 4 hari bermula pada 17 sehingga 20 Februari 2025.
 
Kursus ini bermatlamat untuk meningkatkan pengetahuan dan pemahaman peserta terhadap agama-agama utama di Malaysia khasnya dan di dunia amnya. Pendedahan ini penting sebagai asas dan persediaan kepada pegawai dalam melaksanakan aktiviti dialog antara agama bagi mewujudkan hubungan dan interaksi yang harmoni dengan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini. Pengetahuan terhadap konsep pegangan agama dan pantang larang penganut bukan Islam juga penting dalam aspek dakwah supaya lebih berstrategik dalam mendekati mereka. Seramai 57 orang Pegawai Hal Ehwal Islam pelbagai gred daripada JAKIM, JAIN, Jabatan Mufti, Jabatan kerajaan, KAGAT, dan IPTA telah menyertai kursus ini.
 
Seorang penceramah yang pakar dalam bidang perbandingan dan dialog antara agama telah dijemput untuk berkongsi ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman sepanjang kursus ini. Beliau adalah Prof. Dr. Kamar Oniah binti Kamaruzaman yang merupakan seorang mantan Profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau merupakan seorang tokoh yang berkepakaran dan berpengalaman luas dalam bidang ini. Selain terlibat sebagai pensyarah atau pendidik dalam bidang perbandingan agama, beliau juga banyak terlibat menyampaikan ceramah di dalam dan di luar negara.
 
Kursus ini turut menjelaskan mengenai kepentingan aktiviti dialog antara agama bagi mencegah sebarang salah faham dan perselisihan yang kerap berlaku di dalam masyarakat. Negara kita yang berbilang kaum dan agama sentiasa terdedah kepada perselisihan dan konflik yang boleh menggugat perpaduan.
 
Kursus ini juga diserikan lagi dengan kehadiran YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM yang merasmikan penutupan kursus .
 
Semoga kursus ini sedikit sebanyak telah dapat memperlengkapkan peserta dengan pemahaman agama-agama di Malaysia dan di dunia yang sekaligus merupakan persediaan asas mustahak sebelum terlibat melaksanakan aktiviti atau program dialog antara agama yang menjadi keperluan di negara ini.
 
Untuk melayari info lanjut, layari pautan berikut : https://ilim.islam.gov.my/ms/ atau untuk info dan permohonan kursus layari pautan : https://itis.islam.gov.my/