WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
ILIM BANGI, 19 Februari 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi terus komited dalam memperkasakan keilmuan dan kemahiran penyampaian dakwah melalui Kursus Mimbar Al-Falah yang berlangsung selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Februari 2025 bertemoat di Bilik Kuliah al Bukhari, Kampus Utama Bangi. Kursus ini memberi tumpuan kepada aspek penulisan dan penyampaian khutbah yang lebih berkesan, relevan dan mampu menyentuh hati para jemaah.
 
Kursus yang mensasarkan Pegawai Hal Ehwal Islam JAKIM, Pegawai agama masjid dan pendakwah dari Jabatan Agama Islam Negeri, Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti, Agensi di Bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman mengenai teknik penulisan khutbah yang tersusun, berfakta dan mempunyai nilai tarbiah yang tinggi ke arah menjadikan khutbah itu sebagai wasilah dakwah kontemporari yang efektif dalam membimbing masyarakat.
 
Kursus ini juga telah menampilkan penceramah dan fasilitator yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang penulisan dan penyampaian iaitu YBrs. Dr. Mohd Erfino Johari, Pensyarah Kanan Pengajian Islam, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), YBrs. Us. Muhamad Luqman bin Makhtar dan YBrs. Us. Afizul Naim bin Mohamed Adib dari Lidi Media Resourses.
 
Khutbah bukan sekadar bacaan teks, tetapi ia perlu menjadi medium yang mampu menyuntik kesedaran, membangkitkan semangat dan mengajak masyarakat kepada perubahan positif. “….Khatib yang berkesan bukan sahaja bijak dalam menyusun isi khutbah, tetapi juga mampu menyampaikannya dengan penuh keyakinan, intonasi yang tepat dan menyentuh aspek psikologi jemaah…” Itulah ulasan bernas dari barisan penceramah yang mengendalikan kursus ini.
 
Peserta juga telah memberi kerjasama dan maklum balas yang sangat positif dan mengesyorkan agar kursus ini diteruskan lagi sebagai keperluan bagi para khatib yang ingin meningkatkan mutu khutbah.
 
Selain sesi teori dan praktikal, kursus ini turut mengadakan sesi refleksi khutbah di mana peserta berpeluang menganalisis dan menilai kembali kandungan serta penyampaian khutbah mereka di hadapan panel penilai dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran dan kepekaan terhadap keberkesanan mesej yang disampaikan dan seterusnya dapat memperkasakan institusi masjid sebagai pusat penyebaran ilmu dan mesej Islam yang jelas, berilmiah dan penuh hikmah kepada ummah.