WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
BANGI, 19 FEBRUARI 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi telah menganjurkan Seminar Kelestarian Global Melalui Fiqh al-Ta’ayush 2025 bertemakan “Menginspirasi Dunia Lestari dengan Nilai Islam”. Seminar yang diadakan di Dewan Datuk Mohd Shahir, ILIM Kampus Utama Bangi ini bertujuan mengupas peranan Fiqh al-Ta’ayush dalam mengimbangi pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar.
 
Perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Kolonel Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM yang menekankan bahawa kelestarian alam adalah amanah bersama dan mengingatkan manusia untuk tidak merosakkan bumi. Beliau menegaskan bahawa Fiqh al-Ta’ayush menjadi asas keseimbangan antara manusia dan alam selari dengan Maqasid Syariah termasuk pemeliharaan alam (hifz al-bi’ah).
 
Seminar ini telah menarik penyertaan 206 peserta daripada JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Jabatan Mufti, agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan agensi-agensi kerjasama strategik ILIM. Kehadiran mereka mencerminkan komitmen tinggi dalam menerapkan prinsip Islam dalam pembangunan lestari dan keseimbangan alam.
 
Seminar ini turut menampilkan pembentangan oleh pakar dalam bidang kelestarian dan pembangunan Islam. Dr. Fakhri bin Sungit dari Universiti Islam Selangor membincangkan bagaimana prinsip syariah menjadi asas kepada kelestarian dunia dan pembangunan mampan. Prof. Dr. Ahmad Fariz bin Mohamed dari Universiti Kebangsaan Malaysia pula menekankan kepentingan membudayakan kelestarian dalam kehidupan masyarakat Malaysia selari dengan nilai Islam.
 
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Sarah Aziz binti Abdul Ghani Aziz dari UKM mengupas peranan dasar dan governans dalam memastikan pelaksanaan kelestarian yang efektif.
 
ILIM berharap dengan penganjuran seminar ini dapat mencetuskan lebih banyak inisiatif bagi menjamin keseimbangan antara kemajuan dan kelestarian. Fiqh al-Ta’ayush bukan sekadar konsep tetapi amalan yang perlu diterapkan bagi kesejahteraan sejagat.