WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Bangi, 15 November 2024 — Malaysia, sebagai sebuah negara dengan majoriti umat Islam, menekankan pentingnya dakwah dalam menyebarkan ajaran Islam yang tulen.
Dakwah bukan sahaja melibatkan penyebaran nilai-nilai murni Islam, tetapi juga bertanggungjawab untuk memperbetulkan doktrin yang salah serta menjaga hak-hak asasi umat manusia. Dalam konteks ini, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan Kursus "Islamic Affairs in Malaysia: Governance & Administration" yang berlangsung pada 3 hingga 16 November 2024 di Kampus Utama ILIM, Bangi, Selangor.
 
Kursus ini disertai seramai 15 orang peserta dari kalangan para Imam dari Negara Maldives.
Tujuan utama penganjuran kursus ini adalah untuk berkongsi membekalkan peserta dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi memainkan peranan yang lebih efektif dalam pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Islam.
 
Selain itu, kursus ini bertujuan mempromosikan keharmonian serta pembangunan komuniti yang berterusan dalam konteks masyarakat yang berbilang agama.
Sepanjang kursus, para peserta akan didedahkan kepada kedua-dua aspek teori dan praktikal dalam pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia. Kursus ini memfokuskan struktur pentadbiran Islam di Malaysia, termasuk peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Negeri, serta pengurusan zakat dan haji. Di samping itu, peserta juga diberi pendedahan mengenai cabaran-cabaran terkini dalam pengurusan dan pelaksanaan dasar Islam di Malaysia, serta peranan kerajaan dalam memastikan keharmonian antara urusan agama dan pemerintahan negara.
 
Mereka didedahkan dengan konsep kesederhanaan beragama, yang bertujuan untuk menggalakkan toleransi dan keharmonian, serta meningkatkan kefahaman mengenai pengurusan dan pentadbiran hal ehwal Islam.
ILIM juga telah bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan dalam merangka modul kursus yang komprehensif. Pendekatan pengajaran yang digunakan adalah bersepadu, meliputi ceramah, sesi perbincangan, aktiviti bilik kuliah, kerja berkumpulan, dan lawatan ke agensi-agensi yang terlibat dalam pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.
 
Di penghujung kursus, ILIM berharap agar peserta dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh untuk memahami dengan lebih mendalam pengurusan hal ehwal Islam, serta mencadangkan strategi dan penambahbaikan dalam pengurusan tersebut.
 
Akhir kata, kursus ini diharapkan dapat memberi impak positif kepada para peserta terhadap sistem tadbir urus Islam di Malaysia, serta memperkasa para delegasi untuk mengurus hal ehwal Islam dengan lebih berkesan dan profesional.